DUNIA > BERITA

LELAKI JEPUN DIBEBASKAN DARIPADA KES BUNUH 1966 DIBERI PAMPASAN US$1.44 JUTA

25/03/2025 05:36 PM

SHIZUOKA (Jepun), 25 Mac (Bernama-Kyodo) -- Iwao Hakamata, 89, yang dibebaskan dalam perbicaraan semula berhubung kes pembunuhan sekeluarga pada 1966 di Jepun, telah diberikan pampasan jenayah tertinggi dalam sejarah selepas menghabiskan lebih 47 tahun dalam penjara, lapor Agensi Berita Kyodo pada Selasa.

Pasukan guamannya berkata Mahkamah Daerah Shizuoka pada Isnin telah mengeluarkan perintah pembayaran sekitar ¥217 juta (US$1.44 juta), dengan menyatakan pampasan itu diberikan bagi lebih empat dekad penahanan fizikalnya, bermula dari tempoh penangkapan sehingga pembebasannya.

Pada Januari, pasukan itu mengemukakan tuntutan pampasan kepada mahkamah daerah bagi pihak Hakamata, yang masih mengalami kesan akibat pemenjaraan tersebut.

Pembebasan Hakamata dimuktamadkan pada Oktober tahun lalu, menandakan berakhirnya perjuangan selama beberapa dekad oleh keluarganya untuk membebaskannya daripada hukuman mati. Mahkamah mendapati pihak penyiasat telah memalsukan bukti dalam kes yang berlaku di Wilayah Shizuoka.

Mahkamah menyatakan bahawa pemalsuan bukti itu menjadi "asas bagi penentuan jumlah pampasan", dengan hakim utama menegaskan bahawa Hakamata telah menghabiskan kira-kira 33 tahun daripada tempoh penahanannya di bawah hukuman mati, menyebabkan dia menanggung penderitaan mental dan fizikal yang "amat berat".

Pasukan guaman Hakamata menyatakan mereka merancang untuk memfailkan saman terhadap Wilayah Shizuoka dan kerajaan pusat menjelang musim panas ini bagi menuntut pertanggungjawaban terhadap sabitan salah itu.

Dalam sidang media di wilayah itu, seorang daripada peguam Hakamata berkata, "Adalah wajar jumlah pampasan jenayah tertinggi diberikan dalam kes hukuman mati yang pemalsuan bukti telah diakui."

Merujuk kepada kesan berpanjangan akibat pemenjaraan Hakamata, peguam itu mengkritik kerajaan pusat, sambil menyatakan bahawa pihak berkuasa telah melakukan "kesalahan yang tidak mungkin dapat ditebus dengan hanya 200 juta yen."

-- BERNAMA-KYODO


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan