DUNIA > BERITA

PENUNGGANG MOTOSIKAL 'DITELAN' LUBANG BENAM DI SEOUL

25/03/2025 05:57 PM

SEOUL, 25 Mac (Bernama-Yonhap) -- Seorang penunggang motosikal yang terjatuh ke dalam lubang benam di Seoul ditemukan dalam keadaan jantung terhenti pada Selasa, lapor Agensi Berita Yonhap.

Lubang benam berukuran 20 meter lebar dan 20 meter dalam itu tiba-tiba muncul pada Isnin di sebuah persimpangan berhampiran sebuah sekolah rendah di Gangdong Ward, timur Seoul sekitar 6.29 petang waktu tempatan.

Kejadian itu menyebabkan penunggang motosikal terbabit terjatuh ke dalam lubang, sementara seorang lagi pemandu kenderaan mengalami kecederaan selepas melalui kawasan itu, tepat sebelum lubang terbentuk.

"Mangsa, seorang lelaki dalam lingkungan 30-an ditemukan dalam keadaan jantung terhenti pada 11.22 pagi," kata seorang pegawai bomba di Gangdong Ward dalam satu taklimat kepada media. 

Mangsa ditemukan kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian. 

Pihak berkuasa menemukan sebuah telefon bimbit yang dipercayai milik penunggang motosikal berkenaan pada 1.37 pagi, sebelum motosikalnya dijumpai kira-kira dua jam kemudian, lebih kurang 30 meter dari lokasi lubang benam terbentuk. 

Atas faktor keselamatan, empat sekolah di kawasan berhampiran iaitu Sekolah Rendah Seoul Daemyeong, Sekolah Menengah dan Tinggi Hanyoung, serta Sekolah Tinggi Bahasa Asing Hanyoung ditutup pada Selasa. 

-- BERNAMA-YONHAP


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan