DUNIA > BERITA

IFE 2025 LONDON : KPKM BERJAYA RAIH KEUNTUNGAN RM15 JUTA NILAI PERDAGANGAN SEBENAR

26/03/2025 10:00 AM

KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Penyertaan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) di International Food and Drink Event (IFE) 2025, London baru-baru ini berjaya meraih keuntungan sebanyak RM15 juta nilai perdagangan sebenar.

Timbalan Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Faisal Iswandi Ismail berkata kementerian juga meraih kira-kira RM80 juta potensi nilai perdagangan untuk tempoh lima tahun akan datang.

Dengan rekod baharu itu, beliau yang mengetuai delegasi KPKM menzahirkan harapan agar IFE London membuka peluang yang lebih luas kepada para usahawan bimbingan FAMA untuk meneroka pasaran antarabangsa.

“Ia selari dengan hasrat kerjasama erat antara Malaysia dan United Kingdom (UK) khusus dalam aspek pemasaran produk Malaysia ke peringkat global,” katanya dalam satu kenyataan Rabu.

Menurut  Pejabat Perwakilan Pertanian The Hague, KPKM membuat penampilan kali kedua dan mendapat kunjungan luar biasa para pengunjung IFE 2025 dengan mengetengahkan produk seperti lada hitam, pelbagai produk Agromas, minuman tenaga, nanas MD2 dan durian Musang King.

Pejabat itu juga memaklumkan lima syarikat dari Malaysia berjaya memperkenalkan produk-produk Malaysia di pameran antarabangsa IFE 2025 yang berlangsung di Excel London selama tiga hari bermula 17 Mac.

Setiausaha Pertama, Pejabat Perwakilan Pertanian di The Hague, Muna Tasu memuji usaha KPKM melalui Pejabat itu yang aktif mempromosikan produk-produk Malaysia ke pasaran Eropah khususnya UK.

“Usaha signifikan ini perlu diteruskan dari semasa ke semasa kerana terbukti produk Malaysia berkualiti tinggi serta menarik minat pelbagai masyarakat semasa pameran di UK bagi mencuba keunikan rasa setanding jenama antarabangsa,” katanya. 

Program yang berakhir 19 Mac itu turut menyaksikan majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Syarikat 3Bumi Trading Sdn Bhd dan Ronuson LTD dari UK.

Perjanjian antara kedua pihak dijangka memperluaskan lagi rangkaian pengedaran produk Industri Kecil Sederhana (IKS) Malaysia ke negara itu dengan nilai kerjasama berjumlah RM6 juta.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan