DUNIA > BERITA

HALAL ORIENTAL MARKET MALAYSIA DI LONDON :  KEJAYAAN BAGI PRODUK BUATAN MALAYSIA

26/03/2025 11:11 AM

KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Pelancaran Halal Oriental Market Malaysia di Queensway, London, pusat strategik jualan utama bagi komuniti Islam dan penggemar makanan Asia mencatatkan sebuah kejayaan bagi produk buatan Malaysia.

Ia merupakan hasil kerjasama strategik antara Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Pejabat Perwakilan Pertanian The Hague dan 3Bumi Trading Sdn Bhd.

“Langkah strategik ini diyakini akan dapat memperkenalkan lebih banyak produk Malaysia di United Kingdom (UK) serta menyatakan komitmen penuh membantu misi mempelbagaikan produk jenama Malaysia ke pasaran UK,” kata Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di London, Mohiuddin Ghazali dalam satu kenyataan pada Rabu.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Mohiuddin pada Jumaat (21 Mac), disaksikan wakil dari FAMA dan Pejabat Perwakilan Pertanian The Hague, para pemain industri, rakan strategik serta rakan-rakan dari pelbagai agensi di London.

Menurut kenyataan itu, Halal Oriental Market menawarkan rangkaian produk halal dan berkualiti tinggi.

Timbalan Ketua Pengarah FAMA Faisal Iswandi Ismail berkata, FAMA berkongsi harapan sama bahawa kejayaan itu membuka prospek lebih besar bagi produk Malaysia untuk berkembang di Eropah dan UK, khususnya dalam kategori makanan halal dan produk premium yang memenuhi citarasa pengguna antarabangsa.

Sementara itu, Setiausaha Pertama, Pejabat Perwakilan Pertanian di The Hague, Muna Tasu turut memuji usaha itu sebagai langkah strategik yang akan memberi maafaat jangka panjang kepada ekonomi negara.

Usaha terbabit merupakan harapan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan agar lebih ramai usahawan tempatan akan mencapai kejayaan yang sama bagi mengangkat jenama Malaysia ke pasaran global sekali gus berkembang di luar negara, menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan