BANGKOK, 28 Mac (Bernama) -- Thailand sedang meningkatkan usaha memerangi kebakaran hutan di wilayah utara sebagai sebahagian daripada langkah menyeluruh untuk mengawal pencemaran udara PM2.5 yang berbahaya.
Timbalan Jurucakap Kerajaan Karom Phonphonklang berkata kerajaan, bekerjasama dengan semua agensi berkaitan, sedang bekerja secara berterusan untuk menangani kebakaran hutan.
Beliau berkata Jabatan Taman Negara, Hidupan Liar dan Pemuliharaan Tumbuhan khususnya giat memantau dan mengawal kebakaran hutan di 14 zon hutan yang ditetapkan, dengan matlamat mengurangkan jerebu dan melindungi kesihatan awam.
"Operasi lapangan melibatkan pegawai dan komuniti tempatan, menggunakan teknologi untuk memadamkan api serta mengesan kebakaran hutan, menjalankan kempen proaktif untuk mencegah pembakaran hutan, dan menguatkuasakan undang-undang secara tegas terhadap mereka yang melakukan pembakaran haram," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau menambah bahawa punca utama kebakaran hutan di Thailand berpunca daripada aktiviti manusia termasuk pencarian makanan, pemburuan haram, pembalakan haram, penternakan haiwan, serta kecuaian pengembara berkhemah.
Menurut laporan media Thailand pada Selasa, kawasan di dua daerah Chiang Mai yang mengalami kebakaran hutan selama dua minggu telah diisytiharkan sebagai zon bencana, sementara pihak berkuasa tempatan terus berusaha mengawal kebakaran tersebut.
Tahun ini, Karom berkata Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar telah mengambil langkah proaktif untuk menguatkuasakan undang-undang secara ketat terhadap pembakaran hutan.
"Sehingga kini, Jabatan Taman Negara, Hidupan Liar dan Pemuliharaan Tumbuhan telah mendakwa 63 kes melibatkan 21 suspek, dengan kerosakan dilaporkan ke atas 443.56 hektar tanah hutan terlindung.
"Jabatan Hutan Diraja pula telah membuka 94 kes di hutan simpanan negara, melibatkan kerosakan seluas 967.04 hektar setakat Khamis (27 Mac)," tambahnya.
Karom menjelaskan bahawa di bawah Akta Taman Negara 2019, pesalah boleh dipenjara antara 4 hingga 20 tahun dan didenda antara 400,000 hingga 2,000,000 baht (100 baht = RM13.07).
"Pelaku juga boleh dikenakan hukuman tambahan di bawah Akta Hutan Rizab Negara dan undang-undang lain yang berkaitan. Pesalah turut bertanggungjawab membayar ganti rugi sivil sebanyak 120,000 baht bagi setiap rai (0.16 hektar), yang akan digunakan untuk memulihkan hutan dan ekosistem yang rosak akibat kebakaran," jelasnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial