BEIJING, 9 April (Bernama-CMG) -- China dan Kesatuan Eropah (EU) perlu memperluas keterbukaan satu sama lain serta bersama-sama memelihara perdagangan dan pelaburan yang bebas dan terbuka.
Sinergi juga hendaklah dibentuk untuk menjaga kestabilan rantaian perindustrian dan bekalan global agar menyuntik lebih banyak unsur kepastian kepada kedua-dua pihak malah dunia.
Perkara itu ditekankan oleh Perdana Menteri China Li Qiang dalam perbualan dengan Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen menerusi panggilan telefon pada Selasa.
Li berkata tindakan Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif sembarangan terhadap semua rakan dagang termasuk China dan EU dengan menggunakan pelbagai dalih adalah amalan unilateralisme, perlindungan dan pembulian ekonomi yang tipikal.
Tindakan balas tegas yang diambil China bukan sahaja demi melindungi kedaulatan, keselamatan dan kepentingan pembangunan negara, tetapi juga untuk mempertahankan peraturan perdagangan serta keadilan antarabangsa.
Li turut menzahirkan komitmen China untuk terus memperluas keterbukaan dan memperkasa kerjasama serta berkongsi peluang pembangunan dengan negara-negara lain di dunia.
Sementara itu, von der Leyen berkata pihaknya bersedia mempergiat dialog peringkat tinggi dengan China, di samping memperdalam kerjasama saling untung dalam bidang perdagangan, ekonomi hijau, perubahan iklim dan sebagainya.
Menurut beliau, tarif tambahan AS memberi impak besar kepada perdagangan antarabangsa dan membawa kesan serius kepada Eropah, China serta negara-negara yang rentan.
Beliau berkata EU dan China komited untuk memelihara sistem perdagangan multilateral yang berteraskan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) serta menjaga perkembangan hubungan ekonomi dan perdagangan global yang sihat dan mampan.
-- BERNAMA-CMG
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial