Oleh Wan Muhammad Aslah Wan Razali
KUALA LUMPUR, 12 April (Bernama) -- Forum Media dan Kumpulan Pemikir ASEAN-China yang berlangsung di ibu negara pada Jumaat menjadi platform penting dalam usaha memperkukuh saluran komunikasi rentas negara, kata Penganalisis Politik dan Media Sosial Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Madya Dr Sara Chinnasamy.
Beliau berkata forum sehari yang bertemakan “Memperkukuh Kerjasama ASEAN-China”, anjuran bersama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Agensi Berita Xinhua, menjadi medium strategik untuk memperkukuh kerjasama serantau dalam landskap media global yang semakin dinamik.
“Saya melihat usaha kerjasama ini sebagai usaha proaktif yang baik.
“Mekanisme penyampaian maklumat yang sahih amat penting, khususnya dalam laporan berkaitan bencana dan krisis kesihatan global,” katanya dalam rancangan ASEAN Petang Ini bertajuk “Naratif-Rakyat: Jambatan ASEAN-China Baharu” terbitan Bernama TV.
Forum yang julung kali diadakan itu telah menghimpunkan lebih 200 peserta daripada 160 organisasi media, badan pemikir, agensi kerajaan dan syarikat dari rantau Asia Tenggara serta China bagi memperkukuh kerjasama dan libat urus dalam landskap media yang semakin dinamik.
Forum itu antara lain membuka ruang perbincangan dan penerokaan peluang kerjasama dalam bidang inovasi digital, kecerdasan buatan (AI), perdagangan, ekonomi dan warisan budaya anggota serantau.
Sara, yang juga Pengasas Bersama Global Risk Journalism Hub, menegaskan bahawa penyelarasan komunikasi perlu menjadi asas dalam kerjasama ASEAN-China, bukan sekadar bergantung kepada hubungan diplomatik.
Jambatan komunikasi itu penting kerana banyak laporan di rantau ini bergantung kepada pemberitaan asing, katanya.
Beliau turut berkongsi dapatan kajian selama empat tahun melibatkan enam rantau termasuk Asia, Amerika Latin, Eropah, Timur Tengah dan Australia, yang menunjukkan kadar penyebaran berita palsu tertinggi berlaku di Asia - menjejaskan keberkesanan komunikasi semasa krisis.
Situasi itu katanya, sering menggagalkan penyampaian maklumat yang sahih ketika berdepan bencana alam dan pandemik seperti COVID-19.
Mengulas tentang penggunaan teknologi dalam pemberitaan, Sara menyeru ASEAN agar mencontohi China dalam mengaplikasikan AI dan teknologi komunikasi moden untuk laporan bencana dan kesihatan awam.
Sekiranya jambatan komunikasi ASEAN-China dapat diseragamkan dan diberi penekanan, ia akan menjadi langkah penting dalam memperkukuh sistem penyampaian maklumat serantau, katanya.
“Penyelarasan ini akan membantu penyebaran maklumat berkaitan isu politik, bencana atau pandemik disampaikan dengan lebih berkesan melalui kerjasama kukuh antara negara ASEAN dan China,” katanya.
Sara turut menekankan peranan ASEAN sebagai satu-satunya entiti serantau yang mampu menyuarakan pendirian Asia Tenggara dalam isu global seperti konflik Palestin.
Beliau turut menyentuh peranan media dalam membentuk persepsi awam terhadap China dalam kalangan rakyat ASEAN dan sebaliknya, sambil menekankan pentingnya penyelarasan maklumat rentas negara bagi mengelakkan salah tanggapan yang boleh menjejaskan hubungan serantau.
“Saya percaya kerjasama ini dapat menghapuskan persepsi negatif dan memperkukuh aliran maklumat antara negara,” katanya.
Sementara itu, Sara mencadangkan penubuhan pusat media ASEAN-China bagi menyatukan pandangan serantau, khususnya dalam isu ekonomi dan geopolitik.
Katanya, pusat ini boleh berperanan sebagai suara bersama ASEAN dan China dalam menyampaikan pandangan alternatif terhadap isu antarabangsa.
Sara berkata Kementerian Luar dan Kementerian Komunikasi juga perlu memainkan peranan penting sebagai penghubung utama dalam memastikan maklumat yang disampaikan kepada rakyat adalah sahih dan tepat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial