DUNIA > BERITA

40 NEGARA SERTAI PENDENGARAN AWAM ICJ MENGENAI ISRAEL

10/04/2025 04:56 PM

LONDON, 10 April (Bernama-Anadolu) -- Wakil dari 40 negara bersama empat pertubuhan antarabangsa menyatakan hasrat untuk mengambil bahagian dalam sesi pendengaran awam di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung kewajipan Israel di wilayah Palestin yang diduduki, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Dalam satu kenyataan pada Rabu, ICJ memaklumkan bahawa sesi pendengaran itu akan berlangsung dari 28 April hingga 2 Mei bagi mendapatkan pendapat nasihat berkaitan "Tanggungjawab Israel terhadap Kehadiran dan Aktiviti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, pertubuhan antarabangsa lain serta negara ketiga di dalam dan yang berkaitan dengan Wilayah Palestin yang Diduduki."

“Sebanyak 40 negara dan empat pertubuhan antarabangsa menyatakan hasrat mereka untuk mengambil bahagian dalam prosiding lisan di hadapan Mahkamah,” menurut kenyataan itu.

Prosiding itu mendapat maklum balas daripada pelbagai negara dan entiti, dengan kesemua penyertaan difailkan dalam tempoh masa yang ditetapkan oleh perintah Presiden ICJ pada 23 Dis lalu.

Kesatuan Afrika telah diberikan lanjutan masa untuk menyerahkan kenyataannya melebihi tarikh akhir asal.

Senarai penyumbang termasuk negara dari pelbagai benua seperti Malaysia, Rusia, Turkiye, Pakistan, Chile, Qatar, Sepanyol, Afrika Selatan, Ireland, Arab Saudi, China, Belanda, Brazil, Mesir, Perancis, Amerika Syarikat dan Palestin.

Beberapa pertubuhan antarabangsa utama juga turut menyampaikan pandangan mereka termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Liga Arab.

Pada masa yang sama, Israel turut berdepan kes genosid susulan perang ke atas Semenanjung Gaza sejak Oktober 2023 telah mengorbankan lebih 50,000 rakyat Palestin dan memusnahkan sebahagian besar kawasan itu.

Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) sebelum ini turut mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

Turkiye akan menyampaikan kenyataan lisan pada 30 April di hadapan ICJ mengenai tanggungjawab Israel yang timbul daripada sekatannya ke atas institusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, menurut kenyataan mahkamah.

Turkiye, yang diwakili oleh Kementerian Luar akan membuat penyampaian antara 3 petang hingga 3.30 petang waktu tempatan.

Prosiding lisan itu akan berlangsung di Istana Keamanan, The Hague. ICJ turut memaklumkan bahawa Israel tidak termasuk dalam senarai negara yang akan membuat hujahan secara lisan.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan