Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid and Norsyafawati Ab Wahab
KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Gelombang baharu perang perdagangan yang dicetuskan oleh dasar Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump telah memberikan dorongan untuk mengukuhkan kerjasama dua hala antara ASEAN dan China, kata Pengerusi Majlis Perniagaan Malaysia-China, Tan Sri Low Kian Chuan.
Beliau berkata pembuat dasar kedua-dua pihak boleh bekerjasama dan memperkukuh keupayaan tindak balas krisis melalui libat urus, memupuk komunikasi serta perkongsian maklumat antara agensi dan pihak berkepentingan yang berbeza di ASEAN dan China.
“Dengan risiko perang perdagangan penuh semakin hampir dan memberi kesan berantai kepada ekonomi global, adalah sangat penting bagi negara-negara yang sehaluan di ASEAN dan China untuk terus memperkukuh sistem perdagangan antarabangsa berasaskan peraturan, selain menentang arus perlindungan perdagangan yang semakin meningkat dengan mengukuhkan kerjasama dan integrasi serantau,” katanya dalam ucapan pada Forum Media dan Kumpulan Pemikir ASEAN-China di sini, hari ini.
Beliau menyatakan bahawa Malaysia selaku pengerusi ASEAN akan mengadakan perbincangan dengan beberapa negara anggota untuk mencapai persetujuan bersama berhubung isu tarif timbal balik AS bagi memastikan prinsip keadilan terus dipertahankan dalam perdagangan antarabangsa.
Low turut menekankan bahawa pemeteraian Perjanjian Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) 3.0 yang dijadualkan tahun ini akan menjadi keutamaan utama dalam usaha memperkukuh integrasi ekonomi serantau.
“Kedua-dua pihak perlu terus menekankan bahawa hubungan antara ASEAN dan China akan menuju ke tahap kerjasama holistik yang lain dalam hampir semua bidang,” katanya.
Low juga berkata bahawa China dan ASEAN perlu memperkukuh komunikasi talian penting, komunikasi strategik serta penyelarasan dasar dan pemudah cara, termasuk perbincangan tentang cara menyokong satu sama lain dan menangani kesan tarif secara bersama.
“Dalam hal ini, China dan ASEAN boleh menerima pakai beberapa bentuk persefahaman tersirat, mencapai konsensus, mengkaji semula strategi kerjasama serantau, mengukuhkan rangka kerja kerjasama perkongsian strategik komprehensif China-ASEAN dan mempromosikan komuniti China-ASEAN dengan masa depan yang dikongsi bersama," tambahnya.
Sementara itu, bercakap di platform yang sama, Pengerusi Bioeconomy Corp, Dr Lee Boon Chye ketika sesi panel bertajuk "Building ASEAN-China Super-sized Markets Together" berkata ASEAN dan China perlu memperkukuh integrasi ekonomi mereka dengan memperluas pengaturan tarif sifar, khususnya dalam menghadapi dasar perdagangan “Trump 2.0” yang dijangka diperkenalkan.
Beliau berkata kira-kira 60 peratus daripada perdagangan ASEAN-China telah dijalankan dengan tarif sifar hasil liberalisasi progresif di bawah perjanjian perdagangan serantau sedia ada.
“Saya fikir dengan masalah perang tarif yang dimulakan oleh Trump 2.0, adalah lebih penting untuk ASEAN dan China kekal bersama,” katanya.
Beliau turut berpendapat bahawa selatan global menawarkan potensi pertumbuhan yang menjanjikan untuk perniagaan pada masa hadapan.
“Terdapat potensi perniagaan di selatan global. Dan terdapat cara di mana kita boleh kita boleh bekerjasama lebih lanjut untuk membina masa depan yang lebih makmur untuk kedua-dua pihak,” katanya.
Forum sehari itu dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof pada Jumaat, dengan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan Ketua Pengarang Agensi Berita Xinhua, Lyu Yansong turut hadir.
Hadir sama ialah Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.
Program yang dianjurkan secara bersama oleh Bernama dan Agensi Berita Xinhua bertemakan “Memperkukuh Kerjasama ASEAN-China”, yang menghimpunkan lebih 200 peserta terdiri daripada pemimpin media berpengaruh, wakil-wakil, pegawai kanan kerajaan dan pakar dari seluruh rantau ASEAN dan China bagi memperdalam jalinan kerjasama dalam landskap media yang sentiasa berkembang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial