DUNIA > BERITA

JUARA LALIGA DIJANGKA DIKETAHUI HINGGA AKHIR MUSIM – LUIS GARCIA

12/04/2025 04:13 PM

Oleh Amiril Muttaqien Meketar

KUALA LUMPUR, 12 April (Bernama) -- Perebutan kejuaraan LaLiga dijangka kekal terbuka hingga ke minggu-minggu terakhir musim ini tanpa pasukan pilihan yang jelas untuk menjuarai liga utama bola sepak Sepanyol itu, kata bekas pemain FC Barcelona dan Atletico Madrid, Luis Garcia.  

Garcia percaya kejuaraan hanya boleh ditentukan pada dua atau tiga perlawanan terakhir, memandangkan dua pasukan teratas Barcelona dan Real Madrid, masih berdepan jadual yang padat, saingan di kejohanan Eropah, serta keletihan yang semakin ketara dalam kalangan pemain utama.  

“Kita bakal menyaksikan perlawanan yang sangat menarik dan saya tidak fikir kita akan melihat pasukan yang menjadi pilihan utama sehingga dua atau tiga perlawanan terakhir,” katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif menjelang Grand Final EA FC 25 Tournament Beat the Best di sini, Sabtu. 

Selepas 30 perlawanan, Barcelona kini menerajui carta liga dengan 67 mata diikuti Real Madrid (63 mata) manakala Atletico Madrid di tempat ketiga dengan 60 mata.  

Walaupun ramai menganggap Barcelona sebagai pilihan utama untuk merangkul kejuaraan LaLiga ke-28 mereka namun, bekas pemain antarabangsa Sepanyol itu berkata The Galacticos tetap konsisten mengutip mata meskipun tidak mempamerkan aksi terbaik.  

Bekas pemenang Liga Juara-Juara UEFA yang pernah menyarung jersi Liverpool pada musim 2004/2005 itu turut menyifatkan pertembungan El Clasico yang bakal berlangsung pada 11 Mei ini boleh mengubah momentum buat kedua-dua pasukan.

“Kita ada El Clasico yang akan berlangsung tidak lama lagi dan anda tahu perlawanan itu sentiasa istimewa. Anda tidak pernah tahu apa yang akan berlaku kerana kita telah menyaksikan pelbagai kejutan sebelum ini,” katanya.  

Walaupun Atletico Madrid tersingkir daripada Liga Juara-Juara dan Copa del Rey baru-baru ini, Garcia, 46, berkata pasukan itu tidak seharusnya diketepikan sepenuhnya dalam perebutan kejuaraan LaLiga.  

Garcia yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Johor Darul Ta’zim  yang baru dilantik itu tetap yakin skuad kendalian Diego Simeone itu akan bangkit dan berusaha merapatkan jurang dengan dua pasukan teratas liga.  

Mengulas mengenai EA FC 25 Tournament Beat the Best, Garcia berkata kejohanan sulung itu merupakan satu daripada inisiatif untuk menghargai sokongan peminat LaLiga yang begitu bersemangat di Malaysia.  

Sementara itu, wakil LaLiga di Malaysia, Adrian Prol berkata mereka gembira untuk menganjurkan acara itu di Malaysia kerana ia merupakan pengalaman unik yang menggabungkan permainan video, peminat bola sepak, teknologi dan hiburan.  

Perlawanan akhir yang menampilkan 16 pemain terbaik daripada kejohanan dalam talian itu akan berlangsung di sini, esok, dengan juara berpeluang membawa pulang hadiah wang tunai RM2,500 dan lawatan ke Sepanyol untuk merasai pengalaman LaLiga secara langsung.  

-- BERNAMA  

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan