DUNIA > BERITA

KANAK-KANAK MAUT, HOSPITAL AL-AHLI TIDAK LAGI BERFUNGSI SELEPAS SERANGAN DI GAZA – WHO

14/04/2025 05:13 PM

mengolah headline

 

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan seorang kanak-kanak maut selepas rawatan perubatan terganggu akibat serangan di Hospital Al-Ahli Baptist di Gaza yang kini terpaksa dihentikan operasinya.  

Ketua Pengarahnya, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata bilik kecemasan, farmasi, makmal dan unit sinar-X hospital itu musnah, menyebabkan kemudahan itu tidak mampu menerima pesakit baharu.  

“Hospital itu terpaksa memindahkan 50 pesakit ke hospital lain. Empat puluh pesakit kritikal tidak dapat dipindahkan. Hospital tidak dapat menerima pesakit baharu sementara menunggu pembaikan,” katanya dalam satu hantaran di platform X pada Isnin.  

Ghebreyesus berkata hospital, pesakit dan petugas kesihatan mesti dilindungi mengikut undang-undang kemanusiaan antarabangsa.  

“Serangan terhadap kemudahan kesihatan mesti dihentikan. Sekali lagi kami tegaskan: pesakit, petugas kesihatan dan hospital mesti dilindungi. Sekatan bantuan kemanusiaan mesti ditamatkan. Gencatan senjata,” katanya.  

Terdahulu, Agensi Berita Palestin (WAFA) melaporkan pesawat pejuang Israel mengebom bangunan kecemasan dan penerimaan pesakit Hospital Al-Ahli Baptist yang dikendalikan oleh Gereja Espicopal Anglikan di Baitulmuqaddis.  

Hospital itu mengalami kerosakan teruk dan kebakaran berlaku di beberapa jabatan, menyebabkan ia tidak lagi beroperasi. Gereja yang bersebelahan juga mengalami kerosakan yang besar dalam serangan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan