KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Mungkinkah sebatang pen dapat meredakan hubungan dingin antara China dan Jepun sekarang?
Ada yang mungkin bertanya bagaimana agaknya sebatang pen mampu berperanan memulihkan hubungan yang renggang antara dua negara itu.
Itu merupakan permulaan sebuah tulisan daripada Mikhail Raj Abdullah, pengarang di Perkhidmatan Berita Ekonomi Bernama, 20 tahun dahulu.
Beliau ketika itu mengemudi sebuah pasukan liputan bagi Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) yang pertama ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri.
Mikhail, dengan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datuk Yong Soo Heong dan Editor Kanan Govind Nair bersama-sama mengamati situasi itu.
Menurut tulisannya bertarikh 14 Dis, 2005, pada majlis memeterai satu deklarasi pada Sidang Kemuncak itu, Perdana Menteri Jepun Junichiro Koizumi dan rakan sejawatannya dari China Wen Jiabao “membuktikan bahawa masih terdapat bibit-bibit kemesraan di sebalik kedinginan dalam hubungan antara negara mereka berdua.”
Ia berlaku apabila Wen meminjamkan pennya kepada Koizumi untuk menandatangani Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Sidang Kemuncak Asia Timur.
Abdullah selaku Pengerusi ASEAN adalah yang pertama menurunkan tandatangannya.
Ini diikuti oleh Wen, dan semua mata tertumpu kepada pemimpin China itu yang menulis namanya menggunakan huruf Cina.
Namun, ramai yang tidak nampak yang Koizumi mahu meminjam pen Wen, Mikhail mengamati situasi itu.
Wen, yang ketika itu sedang menoleh ke arah Abdullah yang duduk di sebelah kanannya, telah diberitahu oleh Abdullah mengenai hasrat Koizumi itu dan terus menghulurkan pen beliau kepada pemimpin Jepun itu.
Selepas semua pemimpin selesai menurunkan tandatangan mereka pada dokumen itu, Wen dan Koizumi yang duduk bersebelahan, bangun dan berpegangan tangan untuk bersama-sama dengan pemimpin lain bergambar beramai-ramai.
Seminggu sebelum itu, China dan Korea Selatan membatalkan sidang kemuncak tahunan mereka dengan Jepun menjelang Sidang Kemuncak ASEAN+3 (ASEAN campur China, Jepun dan Korea Selatan), sebab marahkan Koizumi kerana melawat tugu peringatan di Tokyo yang turut menempatkan penjenayah perang.
Koizumi menjelaskan bahawa lawatannya itu bukan bertujuan mengagung-agungkan perang tetapi lebih kepada menimbulkan kesedaran tentang keburukan perang.
Sementara itu, Ayman Rashdan Wong, penulis buku sejarah dan geopolitik turut mengenang peristiwa 20 tahun itu di laman Facebook miliknya baru-baru ini.
Menurut beliau, dalam kalangan Perdana Menteri, Abdullah adalah perdana menteri yang beliau paling dapat “relate” kerana ketika itu penulis mula berjinak-jinak membaca berita dunia dan mengikuti perkembangan geopolitik global.
Pengamatannya yang ketika itu masih berusia 17 tahun, zaman Abdullah menjadi perdana menteri selama enam tahun bermula 2003 adalah tempoh yang kritikal dalam geopolitik dunia.
“Di tengah-tengah era peralihan ini, Malaysia bertuah mempunyai seorang pemimpin seperti Tun Abdullah. Seorang yang tenang, berhemah, dan membawa pendekatan diplomasi yang sederhana tapi bijaksana,” tulisnya.
Katanya, satu daripada langkah paling genius dalam era beliau ialah penganjuran EAS yang pertama, ketika Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN pada 2005.
EAS menghimpunkan ASEAN bersama China, Jepun dan Korea Selatan, tiga kuasa besar Asia Timur yang sering bertelagah, tapi berjaya duduk semeja melalui EAS, tambahnya.
Beliau menyifatkan momen “pen” itu satu detik penting yang sangat simbolik dan memperlihatkan kebijaksanaan diplomasi Abdullah.
“Aku tak pasti sama ada ia disengajakan atau memang mengikut protokol, tapi Koizumi dan Wen telah ditempatkan duduk bersebelahan, sedangkan mereka tak mampu “see eye to eye”.
Secara "kebetulan" (yang ni pun aku tak pasti sengaja atau tak), pen Koizumi yang diletakkan di atas meja tak ada dakwat, pada saat semua pemimpin EAS kena menandatangani dokumen yang dinamakan Deklarasi Kuala Lumpur.
Maka, Koizumi meminjam pen daripada Wen. Wen kelihatan sedikit kekok, nak hulurkan atau tak?
Namun, Tun Abdullah yang berada di sebelah Wen dikatakan memujuknya untuk meminjamkan pen tersebut kepada Koizumi.
Akhirnya, Wen menghulurkan pen itu. Koizumi menerimanya.
Hanya dengan satu tindakan kecil, Malaysia berjaya meredakan ketegangan antara dua kuasa besar Asia Timur, Ayman menulis dari pengamatannya.
Itulah seni diplomasi Malaysia, diplomasi yang halus tapi penuh makna. Tak perlu slogan yang gempak, imej yang grand, hanya bertindak sebagai "honest broker" yang membina jambatan antara kuasa yang saling bertelagah.
“Dan Tun Abdullah adalah seorang daripada tokoh terulung dalam seni itu,” sebelum mengakhiri tulisan beliau.
Abdullah, yang mesra dikenali sebagai Pak Lah meninggal dunia di Institut Jantung Negara pada Isnin dan dikebumikan mengikut Istiadat Pengebumian Negara di Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur pada Selasa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial