DUNIA > BERITA

SURUHANJAYA TINGGI BANGLADESH SAMBUT HARI KEBANGSAAN KE-54 DI KL

17/04/2025 01:09 PM

KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) -- Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Malaysia menyambut Hari Kemerdekaan dan Hari Kebangsaan ke-54 negara itu pada Rabu, sambil menekankan persahabatan yang berkekalan dan kerjasama yang semakin berkembang antara kedua-dua negara.

Pesuruhjaya Tingginya, Md Shameem Ahsan berkata hubungan politik antara Bangladesh dan Malaysia telah diperkukuh melalui persahabatan yang lama terjalin antara pemimpin kedua-dua negara.

“Ketua Penasihat Kerajaan Sementara Bangladesh Profesor Muhammad Yunus dan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan rakan yang saling mempercayai dan memiliki rasa hormat yang mendalam antara satu sama lain,” katanya pada majlis sambutan itu.

Beliau berkata lawatan Anwar ke Bangladesh tahun lepas, ketua kerajaan pertama berbuat demikian selepas Revolusi Julai-Ogos, menunjukkan sokongan tidak berbelah bahagi beliau terhadap kepimpinan Profesor Yunus dan visi untuk Bangladesh baharu.

Md Shameem turut menekankan pembangunan sosioekonomi Bangladesh yang pesat, meletakkan negara itu sebagai rakan kongsi yang semakin bernilai bagi Malaysia.

“Bangladesh kini merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia di Asia Selatan, dengan jumlah dagangan dua hala mencecah hampir US$4 bilion pada tahun fiskal lepas.

“Malaysia juga kekal sebagai pelabur utama di Bangladesh, dengan lebih 380 syarikat Malaysia beroperasi di negara kami. Kami menjemput perniagaan Malaysia untuk meneroka lebih lanjut peluang luas yang ditawarkan Bangladesh,” katanya.

Pesuruhjaya Tinggi itu berkata Bangladesh telah meraih pengiktirafan antarabangsa atas pencapaiannya dalam pembasmian kemiskinan, keselamatan makanan, pemerkasaan wanita, kesamaan jantina, pengurusan bencana dan daya tahan perubahan iklim.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri yang hadir sebagai tetamu kehormat pada majlis itu berkata Malaysia berharap dapat memperkukuh kerjasama dengan Bangladesh dalam bidang pemerkasaan ekonomi wanita.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan