DUNIA > BERITA

UZF 2025: TH DAN TH TRAVEL WAKIL MALAYSIA, TERIMA PENGIKTIRAFAN ANTARABANGSA

17/04/2025 03:53 PM

Oleh Noor Bakhtiar Ahmad

KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) -- Lembaga Tabung Haji (TH) dan TH Travel & Services Sdn Bhd (TH Travel) diberi penghormatan sebagai satu-satunya wakil dari Malaysia dan Asia Tenggara di Forum Umrah dan Ziarah 2025 (UZF 2025) yang berlangsung di Madinah, Arab Saudi selama tiga hari bermula Isnin (14 April).

TH Travel dalam kenyataan kepada Bernama pada Khamis berkata majlis pembukaan UZF 2025 telah disempurnakan oleh Gabenor Wilayah Madinah Putera Salman bin Sultan bin Abdulaziz Al-Saud.

Turut hadir Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah, delegasi industri serta pemimpin dari pelbagai negara.

Malaysia, menerusi Pengerusi TH Travel, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, telah diberi penghormatan untuk menyampaikan ucaptama pada majlis pembukaan tersebut.

Dalam ucapannya, Syed Saleh menegaskan komitmen TH dan TH Travel dalam menyokong Visi 2030 Kerajaan Arab Saudi dan terus memperkukuh hubungan erat dua hala antara kedua-dua negara.

Beliau turut menekankan usaha berterusan Tabung Haji dan TH Travel dalam menyediakan perkhidmatan terbaik yang mengutamakan keselamatan, keselesaan dan kebajikan jemaah.

Menurut kenyataan itu, penyertaan eksklusif dalam pameran forum turut membuka ruang kepada TH dan TH Travel untuk berkongsi pengalaman serta memperkenalkan model pengurusan jemaah Malaysia yang tersusun, inovatif dan diiktiraf peringkat antarabangsa.

Sebagai tanda penghargaan rasmi, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Syed Hamadah Syed Othman telah menerima trofi penghargaan khas daripada pihak penganjur atas sumbangan yang signifikan TH dan TH Travel.

Forum UZF ini telah menyaksikan kehadiran lebih 25,000 pengunjung, melibatkan 150 reruai pameran, lebih 50 bengkel, dan lebih 80 pembentang kertas kerja sepanjang tiga hari penganjuran.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan