DUNIA > BERITA

PERANG UKRAINE UJI KETAHANAN ASEAN – SARJANA

21/04/2025 06:04 PM

KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Peperangan yang sedang berlangsung di Ukraine merupakan ujian kritikal terhadap ketahanan ASEAN, kata Profesor Pengajian ASEAN Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Dr Phar Kim Beng.

“Dari perspektif ASEAN, perang di Ukraine bukan sekadar persaingan geopolitik, sebaliknya satu pengajaran tentang daya tahan... bahawa ketidakstabilan global tidak lagi boleh diabaikan, justeru kerangka serantau mesti menyesuaikan diri, bukan dengan tergesa-gesa untuk bertindak balas tetapi dengan persediaan untuk bertahan,” katanya dalam satu artikel yang dikongsi kepada Bernama.

Phar berkata, lebih tiga tahun selepas konflik tercetus, peperangan masih berlarutan tanpa penyelesaian yang jelas.

Sementara negara-negara Barat memberi tumpuan kepada implikasi strategik, beliau menjelaskan bahawa para pemimpin ASEAN lebih prihatin terhadap bagaimana ketidakstabilan yang berpanjangan boleh mengubah perdagangan global dan tadbir urus ekonomi, yang secara langsung memberi kesan kepada Asia Tenggara.

Meskipun ASEAN dilihat tidak bersuara dalam isu konflik Ukraine, Phar menegaskan bahawa keadaan itu tidak boleh disalah tafsir sebagai sikap acuh tidak acuh.

“ASEAN tidak berdiam diri. Perang itu telah mempercepatkan usaha rantau ini untuk memperkukuh keterjaminan makanan, membina daya tahan rantaian bekalan dan melaksanakan kepelbagaian mata wang.

“Ini mencerminkan prinsip asas ASEAN sejak sekian lama iaitu tidak campur tangan, berkecuali secara strategik serta pendekatan berhati-hati dalam mengimbangi hubungan dengan kuasa luar,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa fokus utama ASEAN pada 2025 adalah terletak pada daya tahan ekonomi, termasuk usaha memuktamadkan Perjanjian Perdagangan Bebas EU-ASEAN yang tertangguh sekian lama, memastikan keselarasan dalam Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), serta bersedia menghadapi kesan kenaikan tarif Amerika Syarikat di bawah pentadbiran Trump.

“Perang Ukraine bukanlah satu seruan untuk berperang, sebaliknya satu amaran – bahawa sistem liberal antarabangsa tidak lagi utuh.

“Setiap rantau kini perlu mencari landasan sendiri,” katanya.

Beliau berkata tindak balas ASEAN sepatutnya memperkukuh institusi, memperdalam integrasi serantau dan kekal berwaspada ketika peraturan global terus berubah.

Fasa semasa konflik Rusia-Ukraine bermula pada 24 Feb 2022 apabila pasukan Rusia melancarkan operasi ketenteraan berskala penuh ke atas Ukraine.

Perang itu mengakibatkan korban jiwa dan perpindahan penduduk dalam jumlah besar, dengan kedua-dua pihak masih terlibat dalam pertempuran dan usaha diplomatik untuk mencapai penyelesaian.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan