DUNIA > BERITA

KOR DIPLOMATIK DI INDONESIA DAN ASEAN TANDATANGAN BUKU TAKZIAH TUN ABDULLAH

16/04/2025 09:22 PM

JAKARTA, 16 April (Bernama) --  Anggota kor diplomatik di Indonesia, wakil ASEAN serta pemimpin organisasi Islam berpengaruh seperti Nahdlatul Ulama telah menandatangani nota takziah sebagai penghormatan kepada bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang meninggal dunia pada Isnin.

Mereka menandatangani nota takziah di Kedutaan Besar Malaysia di Kuningan, Jakarta Selatan pada Rabu.

Antara yang hadir termasuk dari Azerbaijan, Belarus, Bosnia-Herzegovina, Chile, Emiriah Arab Bersatu, Laos, Jerman, Guatemala, Hungary, Maghribi, Rusia, Singapura dan Yaman. Mereka disambut Duta Besar Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin.

Wakil Tetap Malaysia ke ASEAN Datin Sarah Al Bakri Devadason menyambut wakil tetap dan duta ke ASEAN termasuk dari Indonesia, Jepun, Korea Selatan, Vietnam dan Rusia.

Selain itu, wakil organisasi Islam berpengaruh, Nahdlatul Ulama turut hadir.

Kedutaan membuka buku ucapan takziah untuk anggota kor diplomatik dan masyarakat untuk ditandatangani sehingga Khamis.

Waktu melawat adalah dari pukul 10 pagi hingga 1 tengah hari, dan 2 petang hingga 4 petang di kompleks kedutaan terletak di Jalan H.R. Rasuna Said, yang dirasmikan oleh Tun Abdullah pada 9 Febuari 1993.

Tun Abdullah, yang mesra dikenali sebagai “Pak Lah” menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara pada Isnin malam dan dikebumikan mengikut Istiadat Pengebumian Negara di Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur pada Selasa.

Allahyarham pernah menjadi Menteri Luar dari Mac 1991 hingga Januari 1999 memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan Malaysia dengan ASEAN.

Sementara itu, Syed Mohamad Hasrin mewakili seluruh warga kedutaan dan rakyat Malaysia di Indonesia merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Tun Abdullah.

“Salam takziah buat seluruh ahli keluarga Tun Abdullah bin Haji Ahmad Badawi. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang yang beriman,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan