LONDON/ISTANBUL, 21 April (Bernama-Anadolu) -- Paus Francis, paus pertama dari Amerika Latin meninggal dunia pada usia 88 tahun, menurut kenyataan Vatican pada Isnin.
Beliau sebelum ini menghidap penyakit berpanjangan, termasuk “krisis pernafasan seperti asma” yang dikaitkan dengan trombositopenia, lapor Anadolu Ajansi.
Dilantik pada Mac 2013, pemilihan Jorge Mario Bergoglio sebagai paus dianggap mengejutkan ramai pihak memandangkan usianya ketika itu 76 tahun serta kedudukannya sebagai tokoh luar berbanding golongan elit Vatican.
Pelantikan beliau mencatat sejarah sebagai paus ke-266 dan paus bukan Eropah pertama sejak abad kelapan.
Beliau memilih nama "Francis" sebagai penghormatan kepada St. Francis of Assisi, yang terkenal dengan sifat rendah hati dan belas kasihan.
Dilahirkan di Buenos Aires pada 17 Dis 1936 dalam keluarga imigran Itali, Bergoglio tertarik kepada kehidupan keagamaan sejak muda.
Beliau ditahbis sebagai paderi Jesuit pada 1969 dan berkhidmat hampir sepenuhnya di Argentina sebelum menjadi Ketua Biskop Buenos Aires pada 1998.
Mengamalkan gaya hidup sederhana, beliau sering menggunakan pengangkutan awam dan menyampaikan khutbah yang menekankan isu kemiskinan dan kesamarataan.
Sejak awal pentadbirannya, Paus Francis membawa pendekatan berbeza, memilih tinggal di rumah tamu sederhana di Vatican dan menolak kemewahan Istana Apostolik, menggambarkan kepimpinan yang lebih dekat dengan rakyat.
Beliau memberi keutamaan kepada reformasi, termasuk usaha menangani skandal kewangan dan menyusun semula birokrasi Vatican.
Beliau juga mengambil langkah menangani kes penderaan seksual dalam gereja, termasuk penyingkiran beberapa ketua biskop yang menyembunyikan isu itu serta penubuhan suruhanjaya khas. Namun, pengkritik menyatakan masih banyak perlu dilakukan.
Paus Francis lantang bersuara dalam isu global, mengkritik kapitalisme melampau serta mendesak tindakan lebih tegas terhadap perubahan iklim.
Sokongan beliau terhadap pelarian serta kenyataan kontroversi – termasuk menyamakan pusat tahanan pelarian dengan kem tahanan – menimbulkan reaksi balas daripada pihak konservatif.
Walaupun dianggap progresif, beliau tetap mengekalkan ajaran tradisional Gereja Katolik berkaitan pengguguran, perkahwinan sejenis dan peranan wanita dalam gereja.
Beliau turut menggantikan beberapa kardinal konservatif dengan tokoh yang lebih progresif, sekali gus mencetuskan ketegangan dalaman.
Legasi Paus Francis dicirikan oleh reformasi, ketabahan dan belas kasihan. Beliau berusaha membawa Gereja Katolik ke arah lebih telus dan inklusif, sambil mengekalkan asas doktrin.
Dikagumi kerana sifat rendah diri dan visi kepimpinannya, beliau juga menerima tentangan hebat, khususnya daripada kalangan konservatif gereja.
Pemergian beliau menandakan penutup sebuah kepimpinan merentas benua, ideologi dan generasi. Beliau meninggalkan sebuah gereja yang telah mengalami transformasi – namun masih bergelut dengan cabaran.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial