DUNIA > BERITA

JETCO ANJUR SESI B2B PACU MOMENTUM PELANCONGAN JOHOR MENUJU TAHUN MELAWAT JOHOR 2026

22/04/2025 08:02 PM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 22 April (Bernama) -- Lebih 100 rakan dagang utama dari Johor dan Singapura menyertai sesi padanan perniagaan (B2B) anjuran Pejabat Ekonomi, Pelancongan dan Kebudayaan Johor Singapura (JETCO) di sini pada Selasa, sebagai usaha strategik memperkukuh momentum menjelang Tahun Melawat Johor 2026 (TMJ 2026).

Pengerusi Eksekutif JETCO Datuk Hasni Mohammad berkata sesi itu bertujuan bukan sahaja menggalakkan kerjasama dan usaha sama, tetapi juga memaklumkan inisiatif pelancongan dan pembangunan infrastruktur pelancongan Johor kepada pemain industri di republik itu.

“Dengan adanya Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, ini adalah masa yang sesuai untuk industri pelancongan mendorong persatuan perdagangan dan agensi pelancongan bekerjasama dan saling melengkapi, memandangkan corak perjalanan yang kian berubah.

“Daripada melihat Malaysia sebagai pesaing, kita boleh saling melengkapi,” katanya kepada Bernama semasa ditemui di majlis itu.

Hasni turut menyatakan Johor boleh menimba pengalaman daripada pendekatan pelancongan mampan Singapura seperti digariskan dalam Pelan Hijau Singapura 2030, terutama apabila negeri itu kini semakin memberi tumpuan kepada kelestarian.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K. Raven Kumar berkata Johor kini mengguna pakai teknologi pelancongan pintar, termasuk aplikasi mudah alih, platform digital dan alat pandu arah interaktif untuk memperkaya pengalaman pelawat serta menjadikan perjalanan lebih mudah, intuitif dan menarik.

Beliau berkata selaras dengan matlamat TMJ 2026, kerajaan negeri mengetuai usaha bersepadu merentas ekosistem pelancongan yang merangkumi ekopelancongan, tarikan keluarga, kesejahteraan dan penerokaan budaya.

“Momentum ini akan digerakkan oleh kerjasama awam-swasta yang diperkukuh melalui sokongan rakan serantau,” katanya.

Sebagai sebahagian strategi pelancongan jangka panjang, Johor memberi keutamaan kepada pembangunan infrastruktur, termasuk melaksanakan 15 projek infrastruktur pelancongan bernilai RM67.6 juta di bawah Belanjawan Negeri 2024.

Beliau berkata bagi tahun ini, sebanyak 18 lagi projek telah dikenal pasti dengan jumlah keseluruhan bernilai RM48.75 juta.

“Inisiatif ini bertujuan meningkatkan pengalaman pelawat secara menyeluruh, daripada penaiktarafan kemudahan, pembinaan tarikan baharu hinggalah penambahbaikan kemudahan awam di kluster pelancongan budaya utama,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan