DUNIA > BERITA

AS-ASEAN SEDIA TINGKATKAN HUBUNGAN DAGANG KE SATU TAHAP BAHARU

23/04/2025 06:01 PM

Oleh Vijian Paramasivam

PHNOM PENH, 23 April (Bernama) -- Amerika Syarikat (AS) dan ASEAN mencapai kemajuan penting dalam memperkukuh Perkongsian Strategik Komprehensif bagi mempererat hubungan perdagangan antara kedua-dua pihak.

Perkembangan itu dikongsi dalam Dialog Tahunan AS-ASEAN ke-37 yang berlangsung di Siem Reap dari 21 hingga 22 April, menurut kenyataan media Jabatan Negara Amerika Syarikat.

“Amerika Syarikat kekal sebagai penyumbang terbesar pelaburan langsung asing ke rantau ASEAN. Matlamat Presiden (Donald) Trump adalah untuk mewujudkan hubungan perdagangan yang lebih adil dan ada timbal balik, selain menyokong ekonomi digital yang inklusif,” kata Pegawai Kanan Biro Hal Ehwal Asia Timur dan Pasifik AS Sean O’Neill dalam sesi dialog itu.

Bagi mengekalkan keamanan dan keselamatan di rantau Asia Tenggara, ASEAN dan Amerika Syarikat turut berikrar untuk mempertingkat kerjasama dalam menangani jenayah rentas sempadan seperti keselamatan siber, pengedaran dadah, penipuan dalam talian, pertahanan dan membanteras keganasan.

Dalam pada itu, Amerika Syarikat menggesa Myanmar untuk melaksanakan peralihan ke arah demokrasi serta membenarkan akses kemanusiaan tanpa halangan kepada semua yang memerlukan.

Amerika Syarikat juga memberi jaminan akan bekerjasama rapat dengan ASEAN bagi memudahkan laluan Myanmar ke arah demokrasi sebenar selaras dengan Konsensus Lima Perkara ASEAN.

“Rejim tentera perlu segera menghentikan keganasan terhadap rakyatnya, membebaskan mereka yang ditahan secara tidak adil dan membenarkan bantuan kemanusiaan disalurkan tanpa sebarang halangan,” kata O’Neill.

Beliau turut merakamkan ucapan takziah atas kehilangan nyawa di Myanmar dan Thailand susulan gempa bumi pada 28 Mac.

“Amerika Syarikat akan terus menyokong usaha kemanusiaan sepanjang tempoh pemulihan yang panjang ini,” katanya.

O’Neill mempengerusikan dialog itu bersama Setiausaha Negara Kementerian Luar dan Kerjasama Antarabangsa Kemboja Kung Phoak.

-- BERNAMA


 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan