SHIZUOKA (Jepun), 27 April (Bernama-Kyodo) -- Sebuah "taman mini" di Shizuoka, Jepun diiktiraf oleh Guinness World Records sebagai taman terkecil di dunia, dengan keluasan hanya 0.24 meter persegi, cukup untuk memuatkan seorang duduk di atas bangku kayu di atas batu.
Menurut agensi berita Kyodo, taman itu terletak di sudut kawasan perumahan di bandar Nagaizumi dan terdiri daripada susunan batu bata kecil yang ditinggikan, beberapa pokok renek berhampiran bangku serta dua monumen batu, termasuk satu yang memaparkan bunga simbolik bandar itu.
Taman itu digelar sebagai "taman terkecil di dunia" oleh penduduk tempatan dan berfungsi sebagai tempat berehat selama lebih 30 tahun.
Ia secara rasmi diiktiraf oleh Guinness pada Disember tahun lalu.
Terletak kira-kira 300 meter dari dewan bandar, taman berkenaan dibina pada 1988 menggunakan tanah lebihan daripada projek pembinaan jalan.
Idea pembinaannya dicetuskan oleh seorang bekas pegawai bandar yang mendapat inspirasi daripada “Mill Ends Park di Oregon", pemegang rekod sebelumnya dengan keluasan 0.29 meter persegi.
Dengan sokongan penduduk, bandar Nagaizumi melancarkan usaha untuk mendapatkan pengiktirafan "Guinness World Records" pada 2023.
Mereka berjaya mengumpulkan kira-kira 2.5 juta yen (US$18,000) melalui bajet bandar, kutipan dalam talian, serta sumbangan sektor swasta untuk menampung kos berkaitan.
Pihak bandar mengupah juruukur untuk mengesahkan ukuran tanah dan mengemukakan sijil membuktikan taman itu telah wujud lebih lima tahun.
Sejak menerima pengiktirafan Guinness, taman itu menjadi tarikan pelancong dan menarik pengunjung dari luar Shizuoka.
"Kami berharap taman ini menjadi peluang untuk mempromosikan bandar kami," kata Shuji Koyama dari bahagian pengurusan pembinaan bandar itu.
-- BERNAMA-KYODO
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial