WASHINGTON, 28 April (Bernama-Xinhua) -- Pertumbuhan Asia semakin perlahan susulan ketegangan perdagangan yang berterusan, kata Pengarah Jabatan Asia dan Pasifik Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) Krishna Srinivasan, sambil memberi amaran yang ekonomi berpendapatan rendah di Asia berisiko terjejas lebih teruk, lapor Xinhua.
Pada Khamis, IMF mengunjurkan pertumbuhan di Asia dan Pasifik akan perlahan kepada 3.9 peratus tahun ini berikutan ketegangan perdagangan yang semakin memuncak, menandakan penurunan 0.5 mata peratusan berbanding unjuran sebelum ini.
Penurunan itu dikaitkan dengan "tarif, ketegangan perdagangan, ketidakpastian yang meningkat serta pengetatan keadaan kewangan," kata Srinivasan dalam satu wawancara dengan Xinhua selepas IMF mengeluarkan unjuran terbaharunya untuk Asia.
"Ketidakpastian yang meningkat, pengetatan lanjut dalam keadaan kewangan dan kelembapan permintaan luar semuanya boleh menjejaskan rantau ini dengan lebih teruk," katanya.
Srinivasan berkata ekonomi kecil dan berpendapatan rendah berdepan risiko lebih besar akibat ancaman tarif AS yang tinggi.
Beliau berkata tidak semua negara mempunyai ruang dasar fiskal yang mencukupi untuk bertindak balas. "Dalam konteks kejutan besar seperti tarif, kejatuhan mendadak permintaan luar... ditambah pula dengan kekurangan ruang dasar menjadikan negara terlibat jauh lebih terdedah," katanya.
Negara kecil mungkin kurang berpengaruh dan mempunyai fleksibiliti yang terhad untuk berunding. Ini tidak membawa petanda yang baik," katanya.
Melihat ke hadapan, Srinivasan menggalakkan ekonomi Asia untuk meningkatkan penggunaan domestik dan membangunkan model pertumbuhan yang lebih seimbang yang bergantung kepada permintaan domestik serta eksport.
Beliau berkata ekonomi utama seperti China, India dan Indonesia, bersama negara kecil di rantau ini, mempunyai potensi permintaan domestik yang besar. "Oleh itu, cuba tingkatkan penggunaan, tingkatkan pelaburan swasta. Semua ini akan membantu membentuk model pertumbuhan yang lebih seimbang," katanya.
Srinivasan turut mencadangkan agar integrasi ekonomi serantau diperkukuh, sambil menyatakan "akan ada lebih banyak manfaat jika terdapat integrasi yang lebih mendalam di dalam rantau ini."
Merujuk kepada Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), beliau berkata, "Apa jua bentuk persekitaran perdagangan yang jelas, stabil dan boleh dijangka amat baik."
IMF percaya setiap negara harus mengambil pendekatan pragmatik dan membina untuk mencapai perjanjian perdagangan, sama ada di peringkat serantau, rentas rantau atau dua hala, kata Srinivasan. "Semua ini akan membantu menyokong potensi pertumbuhan menerusi eksport," katanya.
-- BERNAMA-XINHUA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial