BEIJING, 24 April (Bernama-CMG) -- Seorang wartawan China Media Group (CMG), Satria Zhang Hong melahirkan rasa amat terkejut ketika membaca laporan media mengenai “China mengecam negara-negara yang menjalinkan perjanjian perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS) atas kepentingan Beijing dan berikrar akan mengambil tindakan balas”.
Selepas membuat kajian, mencari sumber berita dan laporan berkaitan, Satria mendapati laporan berkenaan adalah salah faham berhubung kenyataan jurucakap Kementerian Perdagangan China (MOFCOM).
Menurut Satria, jurucakap MOFCOM ketika itu diminta memberikan jawapan pemberita mengenai tindakan pemerintah AS yang memaksa negara-negara lain supaya menyekat perdagangan dengan China dalam rundingan tarif pada 21 April lepas.
Jurucakap itu dipetik sebagai berkata “China menghormati semua pihak menyelesaikan pertikaian ekonomi dan perdagangan dengan AS melalui perundingan secara sama rata.”
Bagaimanapun, jurucakap itu menegaskan bahawa China dengan tegas menentang mana-mana pihak mencapai perjanjian dengan mengorbankan kepentingan negara China.
Sebagai contoh katanya, sekiranya ada negara ASEAN akur dengan kemahuan pemerintah AS termasuk bersetuju untuk mengenakan tarif yang tinggi ke atas import China, ini bermakna semua perjanjian perdagangan bebas, termasuk protokol Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA) dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) serta pelbagai mekanisme yang diusahakan oleh China bersama-sama ASEAN sejak beberapa dekad yang lalu demi kemakmuran bersama, akan menjadi sia-sia.
Sekiranya perkara berkenaan berlaku, China mempunyai hak untuk mengenakan tarif “timbal balik” pula dan langkah itu sebagai usaha untuk melindungi kepentingan negara. Namun, “ia merupakan keadaan yang tidak diingini oleh Beijing.”
Semenjak AS mengumumkan “tarif timbal balik” ke atas semua rakan dagang, ia secara langsung telah menyaksikan negara itu telah memulakan satu “compliance test”, katanya.
Pendirian tegas China yang enggan menurut desakan pentadbiran AS telah menyaksikan tarif tambahan setinggi ratusan peratusan, secara tidak langsung menurunkan tarif yang dikenakan ke atas negara lain kepada 10 peratus buat sementara waktu.
Sudah pasti, ini akan menyaksikan muncul pelbagai tuntutan baharu dalam apa yang dikatakan “rundingan tarif” dengan AS, katanya lagi.
Pentadbiran Beijing memilih untuk tidak tunduk dengan desakan mahupun ancaman yang dikeluarkan AS.
Malah, China juga secara konsisten menyeru negara-negara lain yang disifatkan sebagai sahabat supaya bersama-sama memelihara peraturan ekonomi antarabangsa dan mekanisme perdagangan pelbagai hala.
--BERNAMA-CMG
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial