DUNIA > BERITA

LAWATAN ANWAR KE THAILAND TINGKATKAN KERJASAMA EKONOMI, KESTABILAN SERANTAU

20/04/2025 07:25 PM

Oleh Kenny Teng dan Tuwaedaniya Meringing

BANGKOK, 20 April (Bernama) -- Lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Thailand pada Khamis dan Jumaat lepas mencatatkan hasil yang lebih besar dan tidak terhad kepada pengukuhan hubungan dua hala Kuala Lumpur dan Bangkok.

Ia juga melakar perkembangan signifikan dalam usaha bersama yang strategik dan proaktif kedua-dua negara terhadap kestabilan dan kepentingan serantau. 

Pengarah Institut Pengajian Asia Timur, Universiti Thammasat, Prof. Madya Dr. Chaiwat Meesanthan  berkata lawatan Anwar kali ini memberikan impak yang sangat positif kepada Thailand, khususnya mengenai isu kenaikan tarif Amerika Syarikat, keamanan di Myanmar, serta kestabilan serantau.

Antara yang turut menjadi fokus utama Anwar dan Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra dalam pertemuan mereka ialah hubungan dua hala, kerjasama projek infrastruktur rentas sempadan khususnya di wilayah selatan Thailand.

“Ini boleh diterjemahkan sebagai pengiktirafan kepada hubungan istimewa kedua-dua negara serta  peranan Thailand dalam ASEAN, menjadikan Bangkok sebagai pentas diplomasi serantau,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Chaiwat berkata Malaysia dan Thailand menunjukkan kesediaan untuk bertindak sebagai blok ASEAN, bukannya secara bersendirian, dalam usaha menangani isu kenaikan tarif.

"Pendekatan ini bukan sahaja memperkukuh kuasa rundingan ASEAN di peringkat antarabangsa, malah juga mempamerkan kepimpinan Anwar dalam merangka pendekatan ekonomi yang lebih berdaya tahan terhadap dasar perlindungan Amerika Syarikat," katanya.

Beliau berkata pertemuan Anwar dengan pemimpin Myanmar, termasuk rejim tentera dan Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG), merupakan satu langkah signifikan dalam diplomasi ASEAN untuk mengembalikan keamanan di negara itu.

"Anwar menunjukkan komitmen terhadap pendekatan inklusif yang mampu memberi nafas baharu kepada proses damai di Myanmar, terutamanya dalam aspek pembukaan saluran bantuan kemanusiaan, pelanjutan tempoh gencatan senjata, dan usaha memupuk kepercayaan antara pihak yang bertelagah," katanya.

Namun begitu, Chaiwat menegaskan bahawa kejayaan jangka panjang bergantung kepada kesediaan pihak-pihak di Myanmar untuk meneruskan dialog secara berterusan.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Sains Politik, Universiti Ramkhamhaeng Bangkok, Prof. Madya Dr. Muhammad Ilyas Yahprung turut memuji tindakan Anwar yang berjaya mengadakan perbincangan dengan dua pihak utama dalam konflik Myanmar iaitu pihak junta dan NUG.

Menurutnya, Malaysia, di bawah kepimpinan Anwar dilihat sedang memperbaharui pendekatan yang lebih fleksibel dan praktikal, sekali gus membuka ruang dan peluang kepada Myanmar untuk lebih bersedia  bekerjasama dengan ASEAN dalam mencari penyelesaian kepada konflik di negara itu yang berlarutan sejak Feb 2021.

 Ini merupakan lawatan kedua Anwar ke Thailand sejak menjadi Perdana Menteri pada 2022, selepas kunjungan pertamanya pada 2023 yang menyaksikan beliau bertemu dengan Jeneral Prayut Chan-o-cha, Perdana Menteri Thailand ketika itu.

Pada 2024, Thailand merupakan rakan dagangan ketujuh terbesar Malaysia di peringkat global dan ketiga terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN, dengan nilai dagangan mencecah US$25.03 bilion (RM114.56 bilion).

Antara Januari dan Februari 2025, perdagangan dua hala kedua-dua negara mencatatkan nilai US$3.96 bilion (RM17.65 bilion), meningkat berbanding US$3.67 bilion (RM16.80 bilion) dalam tempoh yang sama pada 2024

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan