DUNIA > BERITA

SERAMAI 16 LAGI RAKYAT MALAYSIA TERLIBAT SINDIKET PENIPUAN PEKERJAAN DI MYANMAR TIBA DI TANAH AIR

30/04/2025 09:11 PM

BUKIT KAYU HITAM, 30 April (Bernama) -- Seramai 16 orang lagi rakyat Malaysia yang terlibat dengan sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Myawaddy, Myanmar telah selamat tiba di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, di sini hari ini.

Mereka tiba pada pukul 4.30 petang dan telah diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar berkata mereka merupakan kumpulan keempat rakyat Malaysia yang berjaya dibawa pulang selepas proses sama sebelum ini pada 24 Feb lepas melibatkan 15 orang, 12 Mac (25 orang), dan 26 Mac (24 orang).

“Setakat ini, Kementerian Luar telah berjaya membawa pulang seramai 80 rakyat Malaysia, termasuk 16 individu yang tiba pada hari ini.

Kesemua operasi ini dilaksanakan melalui kerjasama erat antara agensi termasuk Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kesihatan, PDRM, Jabatan Imigresen Malaysia, dan Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla,” katanya.

Kementerian Luar turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Thailand dan pihak berkuasa Myanmar atas kerjasama berterusan mereka dalam memudahkan serta mempercepatkan proses penghantaran pulang 16 orang warganegara Malaysia itu.

Menurut kementerian itu, ia terus komited dalam memastikan kebajikan warganegara Malaysia di luar negara sentiasa terpelihara dan akan terus menyediakan bantuan konsul melalui Perwakilan Diplomatik Malaysia di luar negara kepada mereka yang memerlukan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan