Oleh Shakir Husain
NEW DELHI, 10 Mei (Bernama) -- Pakistan pada awal Sabtu mendakwa India telah melancarkan serangan peluru berpandu ke atas tiga pangkalan udara utama negara itu - Noor Khan, Shorkot dan Murid.
Kenyataan kerajaan mengesahkan tiada kemalangan jiwa atau kerosakan harta dilaporkan.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Pakistan telah menutup sementara ruang udara negara itu kepada semua lalu lintas udara.
Sementara itu, desakan antarabangsa agar konflik ditamatkan semakin meningkat.
Menteri luar G7 yang terdiri daripada Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Jepun, Britain dan Amerika Syarikat, serta wakil tinggi Kesatuan Eropah bagi hal ehwal luar pada Jumaat menyatakan kebimbangan terhadap konflik India-Pakistan dan ancaman yang dibawanya kepada kestabilan serantau.
“Kami menggesa agar ketegangan segera diredakan dan menggalakkan kedua-dua negara menjalinkan dialog secara langsung demi mencapai penyelesaian damai. Kami akan terus memantau keadaan dengan teliti dan menyatakan sokongan kepada penyelesaian diplomatik yang pantas dan berkekalan,” menurut kenyataan G7 itu.
Menteri Luar Arab Saudi Adel Al Jubeir berada di Pakistan pada Jumaat untuk membincangkan situasi serantau, sehari selepas mengadakan lawatan ke New Delhi.
“Lawatan ini adalah sebahagian daripada usaha Kerajaan Arab Saudi ke arah meredakan ketegangan, menamatkan konfrontasi ketenteraan yang sedang berlangsung dan menyelesaikan semua pertikaian melalui dialog serta saluran diplomatik,” menurut Kementerian Luar Arab Saudi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial