DUNIA > BERITA

KEMENTERIAN LUAR PANTAU RAPAT SITUASI DI INDIA DAN PAKISTAN, BANTU RAKYAT MALAYSIA TERJEJAS

13/05/2025 09:13 PM

PUTRAJAYA, 13 Mei (Bernama) -- Kementerian Luar memantau rapat perkembangan di rantau Asia Selatan, terutamanya keadaan keselamatan rakyat Malaysia di India dan Pakistan.

Dalam satu kenyataan pada Selasa, Kementerian Luar berkata pihaknya telah berhubung secara berterusan dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi dan Islamabad, serta pejabat-pejabat konsulat di negara berkenaan bagi mendapatkan maklumat terkini.

Pejabat-pejabat Perwakilan Diplomatik Malaysia yang berkenaan turut berhubung dengan rakyat Malaysia di kedua-dua negara bagi memastikan keselamatan mereka.

“Ini meliputi bantuan konsul dan khidmat nasihat kepada rakyat Malaysia yang terkandas susulan penutupan ruang udara dan gangguan operasi syarikat-syarikat penerbangan melibatkan 32 lapangan terbang di bahagian barat dan utara India, dan lapangan terbang Islamabad, Lahore dan Karachi di Pakistan,” menurut kenyataan itu.

Kementerian itu berkata di India, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi serta Konsulat Jeneral Malaysia di Mumbai dan Chennai sedang memberikan bantuan kepada lebih 350 rakyat Malaysia yang sedang melancong dan bekerja di kawasan-kawasan terjejas.

Di Pakistan, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Islamabad dan Konsulat Jeneral Malaysia di Karachi telah giat membantu dari segi penginapan, kebajikan serta penyelarasan perjalanan rakyat Malaysia yang terkesan melalui pelbagai laluan.

Menurut Kementerian Luar, sehingga Selasa (13 Mei), lebih 100 rakyat Malaysia telah dibantu, dengan kebanyakan daripada mereka sama ada telah berlepas pulang atau dijadualkan berlepas pulang dalam masa terdekat.

Sebagai langkah berjaga-jaga, rakyat Malaysia yang berada di India dan Pakistan, terutamanya yang berada berhampiran kawasan sempadan, dinasihatkan untuk mendaftar keberadaan mereka dengan Perwakilan Diplomatik Malaysia yang terdekat.

Ia turut menggesa rakyat Malaysia agar menangguhkan sebarang perjalanan yang tidak penting ke kawasan sempadan dan kekal berada di kawasan yang lebih selamat.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsul boleh berhubung secara langsung dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi pada waktu pejabat menerusi talian +9011 2415 9300 atau +9011 2415 9311. Selepas waktu pejabat, mereka boleh menghubungi talian kecemasan di +90 85955 50564.

Bagi rakyat Malaysia yang berada di Pakistan, mereka boleh menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Islamabad pada waktu pejabat melalui talian +9251 2072900 sambungan 123 atau 125, manakala bagi kecemasan di luar waktu pejabat, mereka boleh menghubungi nombor +923028443021.

Selain itu, rakyat Malaysia juga boleh mendapatkan bantuan melalui Bahagian Konsular, Kementerian Luar di Putrajaya dengan menghubungi talian +603 8887 4412 atau +603 8887 4771 pada waktu pejabat. 

Bagi kecemasan di luar waktu pejabat, mereka boleh menghubungi Bilik Perhubungan 108 di talian +603 8887 4570.

Media antarabangsa melaporkan pihak berkuasa India mengumumkan pembukaan semula 32 lapangan terbang pada Isnin, yang sebelum ini ditutup kepada operasi penerbangan awam susulan sekatan ruang udara ekoran ketegangan dengan Pakistan minggu lepas.

-- BERNAMA 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan