DUNIA > BERITA

RUNDINGAN PERDAGANGAN APEC BERMULA DI JEJU DALAM USAHA ATASI CABARAN PERDAGANGAN GLOBAL

15/05/2025 04:38 PM

JEJU (Korea Selatan), 15 Mei (Bernama-Yonhap) -- Menteri perdagangan dari 21 ekonomi anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) berkumpul pada Khamis di pulau peranginan Jeju,  Korea Selatan, di tengah-tengah peningkatan usaha perlindungan global dan rundingan perdagangan yang sedang berlangsung melibatkan ekonomi utama, lapor agensi berita Yonhap.

Mesyuarat Menteri APEC yang Bertanggungjawab untuk Perdagangan (MRT), yang diadakan di bawah tema "Membina Masa Depan yang Mampan: Menghubung, Inovasi, Makmur," berlangsung sehingga Jumaat di Pusat Konvensyen Antarabangsa di selatan Jeju, menurut Kementerian Perdagangan, Industri dan Tenaga Korea Selatan.

Pegawai kanan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) juga turut menghadiri acara dua hari itu.

Antara agenda utama termasuk mempromosikan inovasi melalui kecerdasan buatan (AI) untuk memudahkan perdagangan, memperkukuh hubungan melalui sistem perdagangan multilateral dan memastikan kemakmuran melalui perdagangan lestari.

Mesyuarat tahun ini menarik perhatian khusus memandangkan beberapa anggota ekonomi APEC sedang merundingkan perdagangan dengan Amerika Syarikat susulan pelaksanaan dasar tarif menyeluruh oleh Presiden Donald Trump awal tahun ini.

"Hari ini, persekitaran global yang dihadapi ekonomi APEC berdepan dengan pelbagai cabaran," kata Menteri Perdagangan Korea Selatan Cheong In Kyo, dalam ucapan pembukaan beliau, sambil mengetengahkan is ketidaktentuan yang berterusan dalam perdagangan global dan rantaian bekalan.

Beliau berkata institusi antarabangsa seperti WTO dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)  menyemak turun unjuran mereka untuk perdagangan global dan pertumbuhan ekonomi.

"Dalam persekitaran perdagangan global yang mencabar ini, peranan APEC lebih penting daripada sebelum ini dan dunia sedang memerhati mesyuarat MRT tahun ini dengan penuh perhatian," katanya.

Menteri Perdagangan, Industri dan Tenaga Korea Selatan Ahn Duk Geun dijadual mengadakan perbincangan dua hala pada Jumaat dengan Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer, di luar mesyuarat MRT.

Kedua-dua pihak dijangka membincangkan beberapa langkah susulan kepada perbincangan peringkat tinggi yang diadakan di Washington bulan lalu dan mereka bersetuju untuk merangka "pakej" perjanjian yang menangani tarif AS dan kerjasama ekonomi yang lebih luas menjelang awal Julai.

-- BERNAMA-YONHAP


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan