DUNIA > BERITA

PEMBANGUNAN BERKUALITI TINGGI ASAS MODENISASI ALA CHINA - XI

21/05/2025 05:52 PM

ZHENGZHOU, 21 Mei (Bernama-CMG) -- Provinsi Henan perlu menyingkap lembaran baharu dalam memacu modenisasi ala China menerusi pembangunan berkualiti tinggi serta tadbir urus yang cekap.

Perkara itu ditekankan Presiden Xi Jinping semasa mengadakan tinjauan di Provinsi Henan, bahagian tengah China bermula Isnin.

Xi yang juga Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC) dan Pengerusi Suruhanjaya Ketenteraan Pusat mahu Henan mempergiat usaha bagi membina sistem perindustrian moden dan meningkatkan kapasiti sektor pertanian.

Provinsi itu juga hendaklah terus menambah baik kehidupan rakyat, memperkasa tadbir urus sosial serta perlindungan ekologi dan alam sekitar, di samping mendorong kemakmuran budaya.

Menurut beliau, pembangunan berkualiti tinggi merupakan asas bagi menggerakkan modenisasi ala China. 

Tatkala berdepan persekitaran luaran yang rumit, China perlu memperkukuh keyakinan dan memberi tumpuan kepada usaha menguruskan hal ehwal domestik dengan baik dan memperluas keterbukaan yang bertaraf tinggi.

Beliau turut menegaskan perlunya usaha dilakukan untuk menstabilkan pengambilan pekerja, perniagaan, pasaran dan jangkaan.

Dalam tinjauan selama dua hari itu, Xi telah mengadakan tinjauan di bandar Luoyang dan Zhengzhou serta mendengar laporan kerja daripada Jawatankuasa PKC di Henan serta kerajaan tempatan.  

--BERNAMA-CMG


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan