MOSCOW, 30 Sept (Bernama-Sputnik/RIA Novosti) -- Lebih 500 orang kini berada di dalam tiga flotila yang sedang belayar merentasi Laut Mediterranean dalam usaha memecah sekatan ke atas Semenanjung Gaza, kata aktivis Rudeina Zomita daripada Global Sumud Flotilla kepada RIA Novosti.
“Tiga flotila kini sedang menyeberangi Laut Mediterranean bagi memecah sekatan Gaza iaitu Global Sumud Flotilla (yang merangkumi 40 hingga 42 kapal), lapan kapal daripada Freedom Flotilla dan satu kapal dari Omar Al Mokhtar Flotilla (kapal Libya membawa peralatan perubatan). Jumlah keseluruhan peserta ialah 532 orang,” kata Zomita.
Menurut beliau, 41 kapal kini belayar bersama dalam Global Sumud Flotilla dan satu lagi dijangka menyertai tidak lama lagi, diikuti dua lagi kapal dari Turkiye.
Kapal yang terlibat mengibarkan bendera dari United Kingdom, Itali, Sepanyol, Perancis, Poland, Tunisia dan Portugal.
Sementara itu, Kementerian Pertahanan Turkiye memaklumkan yang kapal tenteranya sedang memantau pergerakan Freedom Flotilla ke arah Gaza dan bersedia memberikan bantuan kemanusiaan jika diperlukan. Ankara menegaskan komitmennya untuk terus melindungi nilai-nilai kemanusiaan dan orang awam yang tidak bersalah.
Media Turkiye melaporkan, sekurang-kurangnya dua dron Turkiye sedang membuat rondaan di sekitar flotila, walaupun maklumat ini belum disahkan secara rasmi.
Terdahulu, Global Sumud Flotilla memaklumkan yang mereka memasuki zon pemintasan Israel. Aktivis alam sekitar dari Sweden, Greta Thunberg, mengesahkan kepada CNN yang beliau menyertai flotila itu.
Cubaan sebelum ini untuk memecah sekatan Gaza melalui flotila bantuan kemanusiaan kebanyakannya tidak berjaya:
Pada Jun, kapal kemanusiaan Madleen yang membawa Greta Thunberg serta 12 aktivis dan wartawan dipintas oleh tentera Israel di perairan antarabangsa, dan kru kapal telah ditahan serta dihantar pulang.
Pada Julai kapal Handala dipintas dan sukarelawannya “diculik”.
Pada September, Kapal Alma diserang dengan dron ketika berlabuh di pelabuhan Sidi Bou Said, Tunisia.
Pada 24 Sept, 10 kapal dalam Global Sumud Flotilla diserang dron, menurut laporan Al Jazeera. Serangan itu menyebabkan kerosakan harta benda, tetapi tiada kecederaan dilaporkan.
Berikutan kejadian itu, pihak berkuasa Itali dan Sepanyol menghantar kapal perang untuk mengiringi flotila.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial