DUNIA > BERITA

ITALI, MALAYSIA SEDIA LAKAR ERA BAHARU HUBUNGAN DUA HALA - DUTA

01/10/2025 05:32 PM

Oleh Wan Muhammad Aslah Wan Razali

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Itali dan Malaysia bersedia melakar era baharu hubungan dua hala yang dipacu oleh komitmen diperbaharui serta penglibatan strategik antara pemimpin kedua-dua negara, kata Duta Besar Itali ke Malaysia Raffaele Langella.

Beliau berkata lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Rom pada Julai lalu, yang merupakan lawatan pertama oleh seorang pemimpin Malaysia dalam tempoh 36 tahun, telah membuka laluan untuk menggiatkan semula kerjasama dan perkongsian.

“Hubungan antara kedua-dua negara sememangnya sudah lama dan kukuh, tetapi dalam setahun kebelakangan ini, kadar penglibatan semakin meningkat.

“Pertemuan ini (lawatan Anwar ke Rom) membolehkan kita menyuntik semula tenaga dalam hubungan ini, daripada sekadar ikatan baik kepada dialog politik yang sistematik dan berkala. Kita kini bersedia memulakan lembaran baharu dalam hubungan dua hala,” katanya dalam temu bual dalam program The Nation, Diplomatic Dispatch terbitan Bernama TV pada Selasa.

Duta itu berkata Itali juga berhasrat memperkukuh kehadirannya di Malaysia, khususnya dalam sektor ekonomi.

“Hubungan dagangan semakin berkembang, tetapi tumpuan mesti beralih daripada sekadar pasaran kepada perkongsian sebenar,” katanya.

Beliau berkata Itali mahu mewujudkan rangkaian antara syarikat Itali dan Malaysia, dengan kerjasama dipromosikan melalui kedutaan di Rom dan Kuala Lumpur.

“Keutamaan saya ialah memperkukuh kehadiran Itali di sini, terutamanya dalam perkongsian perniagaan. Ia mungkin lebih kepada kepentingan kami, tetapi matlamat kami adalah kerjasama jangka panjang,” katanya.

Hubungan diplomatik rasmi antara kedua-dua negara telah terjalin sejak 1957.

Pada 2024, jumlah dagangan antara Malaysia dan Itali mencecah RM14.61 bilion (US$3.18 bilion).

Bagi tempoh Januari hingga Mei 2025, jumlah dagangan mencatatkan pertumbuhan lanjut sebanyak 3.3 peratus tahun ke tahun kepada RM6.5 bilion (US$1.48 bilion).

Itali kekal sebagai rakan dagang kelima terbesar Malaysia dan pengimport minyak sawit Malaysia ketiga terbesar dalam kalangan negara anggota Kesatuan Eropah pada 2024.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan