DUNIA > BERITA

MALAYSIA JAMIN SOKONGAN ASEAN UNTUK PILIHAN RAYA MYANMAR - MEDIA NEGARA

10/10/2025 03:30 PM

Oleh Vijian Paramasivam

PHNOM PENH, 10 Okt (Bernama) -- Kerajaan Myanmar berkata Malaysia memberi jaminan bahawa ASEAN akan menyokong dan menghantar pasukan pemerhati pilihan raya bagi pemilihan yang dijadual berlangsung pada 28 Dis tahun ini.

Akhbar milik kerajaan, The Global New Light of Myanmar, melaporkan pada Jumaat bahawa Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan yang sedang dalam lawatan telah menyampaikan komitmen kerjasama ASEAN terhadap pilihan raya tersebut.

Pengerusi Suruhanjaya Keselamatan dan Keamanan Negara Myanmar, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing dan Mohamad mengadakan perbincangan di Nay Pyi Taw pada Khamis pagi.

“Beliau (Mohamad) memberi jaminan bahawa ASEAN akan memberi kerjasama terbaik kepada Myanmar.

“Beliau menasihatkan agar pilihan raya itu bersifat inklusif dan berjanji akan menghantar pasukan pemerhati pilihan raya ke Myanmar,” lapor akhbar itu dalam laporan muka depannya.

Pilihan raya itu akan diadakan selepas hampir lima tahun sejak tentera mengambil alih kerajaan pada 1 Feb 2021.

Menurut laporan media negara itu, Min Aung Hlaing turut memberi taklimat mengenai persiapan pilihan raya yang akan menyaksikan 57 parti politik bertanding dengan kira-kira 5,000 calon akan mengambil bahagian.

Mohamad turut mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri U Nyo Saw pada sebelah petang, yang memberi tumpuan kepada pelaksanaan proses damai negara, persiapan bagi mengadakan pilihan raya bebas serta usaha memperkukuh hubungan antara Myanmar, Malaysia dan ASEAN, menurut laporan media negara itu.

Malaysia kini memegang kerusi pengerusi blok serantau 10 negara itu.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan