Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
BANDUNG, 4 Okt (Bernama) -- Pameran kulinari Malaysia di The Westin Surabaya, Jawa Timur mendapat sambutan hangat pengunjung dan ulasan positif, sekali gus mendorong Tourism Malaysia mempertimbangkan untuk memperluas promosi makanan itu ke bandar-bandar lain di Indonesia.
Timbalan Pengarah Tourism Malaysia Jakarta Siti Hajar Mohd Yunus berkata kerjasama “Kitchen Take Over” yang berlangsung dari 25 hingga 28 Sept merupakan perkongsian kulinari paling lama di hotel itu tahun ini.
“Tempat duduk habis ditempah pada malam kedua dan ketiga, malah ruang mezanin juga penuh sesak,” katanya kepada Bernama, sambil menambah Restoran Magnolia ditempah sepenuhnya sepanjang acara itu.
Siti Hajar berkata walaupun setiap hidangan menerima maklum balas positif, char kuetiau dan rendang daging jelas menjadi pilihan utama pengunjung, dipuji kerana keseimbangan rasa Indonesia dan Malaysia.
Hidangan lain yang turut menjadi tumpuan termasuklah ayam percik dengan perapannya yang kaya rempah dan aroma salai jarang ditemui di luar Malaysia serta pencuci mulut sagu istimewa, terkenal dengan rasa manis menyegarkan dan tekstur lembut.
Ditanya mengenai hidangan yang tidak harus dilepaskan oleh rakyat Indonesia, beliau menyarankan mi kari Pulau Pinang yang kuahnya menggabungkan santan, rempah kari dan herba, dilengkapi dengan bahan hiasan yang menambah tekstur serta menjadikannya lebih mengenyangkan.
“Mi kari Pulau Pinang benar-benar menggambarkan jiwa budaya makanan jalanan Malaysia - kaya dengan rasa, pedas dan beraroma.
“Bagi pengunjung Indonesia, rasanya tidak asing kerana perkongsian rempah ratus yang sama, namun tetap mempunyai keunikan rasa Malaysia yang tersendiri,” katanya.
Siti Hajar berkata beliau dimaklumkan bahawa susulan kejayaan acara di Surabaya itu, Marriott International melihat potensi besar untuk memperluas promosi masakan Malaysia ke bandar-bandar utama lain di Indonesia.
“Inisiatif ini bukan sahaja akan membolehkan lebih ramai rakyat Indonesia mengenali dan menghargai cita rasa Malaysia, tetapi juga mengukuhkan hubungan budaya antara kedua-dua negara,” tambahnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial