DUNIA > BERITA

PALANG MERAH GESA GENCATAN SENJATA DI GAZA SELEPAS DUA TAHUN PERANG

06/10/2025 01:24 PM

ISTANBUL, 6 Okt (Bernama-Anadolu) -- Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) pada Ahad menggesa tindakan politik segera bagi mencapai gencatan senjata di Semenanjung Gaza selepas dua tahun perang yang dilancarkan Israel, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Selama dua tahun, penduduk awam terpaksa berdepan kematian, pemindahan paksa dan penafian terhadap maruah kemanusiaan pada tahap yang amat dahsyat.

“Kemanusiaan telah semakin terhakis di Gaza,” kata Ketua Sub-Delegasi ICRC di Gaza Sarah Avrillaud, dalam kenyataan video di platform media sosial X.

Beliau berkata ribuan rakyat Palestin terpisah daripada keluarga masing-masing dan ramai lagi masih hilang tanpa khabar, sambil menambah bahawa pemindahan berulang kali turut menjejaskan proses pemulihan pesakit.

Perkhidmatan asas yang masih beroperasi kini tidak lagi mampu memenuhi keperluan penduduk Gaza, memandangkan ramai yang tidak mempunyai akses tetap dan selamat kepada air bersih, kemudahan sanitasi serta perkhidmatan kesihatan.

“Badan-badan kemanusiaan sahaja tidak mampu menampung keperluan awam yang semakin meningkat,” tegas Avrillaud sambil menekankan keperluan mendesak untuk melaksanakan gencatan senjata.

“Nyawa masih boleh diselamatkan, tetapi orang awam tidak mampu menunggu lagi. Mereka memerlukan tindakan politik sekarang,” kata beliau.

Pada 29 Sept, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump membentangkan pelan 20 perkara bagi Gaza, termasuk pembebasan semua tawanan Israel dalam tempoh 72 jam, gencatan senjata serta pelucutan senjata Hamas.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan