DUNIA > BERITA

THAILAND, MALAYSIA BERJAYA UJI TREN PELANCONGAN RENTAS SEMPADAN “MYSAWASDEE”

06/10/2025 01:45 PM

Oleh Kenny Teng Khoon Hock

BANGKOK, 6 Okt (Bernama) -- State Railway of Thailand (SRT) berjaya melaksanakan ujian tren pelancongan rentas sempadan “MySawasdee” dengan kerjasama pengendali kereta api nasional Malaysia, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menjelang pelancarannya yang dijadual pada akhir 2025.

Gabenor SRT, Veeris Ammarapala berkata ujian percubaan tren “MySawasdee” berjalan lancar antara stesen Padang Besar dan Surat Thani dari 21 hingga 23 Sept lalu.

“Ujian yang berjaya ini menandakan satu lagi langkah penting ke arah mempromosikan pelancongan berasaskan kereta api serta memperkukuh hubungan ekonomi, budaya dan persahabatan antara kedua-dua negara jiran,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Veeris menjelaskan bahawa semasa Persidangan Bersama KTMB-SRT ke-43 yang diadakan pada Ogos, kedua-dua pihak bersetuju dengan rangka kerja awal untuk memulakan operasi tren tetap sekitar Disember 2025.

Beliau berkata tren “MySawasdee” dikendalikan menggunakan lokomotif jenis QSY milik SRT bagi laluan Padang Besar-Surat Thani dan kembali semula pada 23 Sept.

Ujian itu meliputi pelbagai aspek teknikal utama termasuk ukuran jarak antara tren dan platform, jarak roda, ketinggian gerabak serta sistem brek bagi memastikan pematuhan terhadap piawaian keselamatan sebelum perkhidmatan tetap dimulakan.

Veeris turut mendedahkan bahawa perancangan sedang dibuat untuk menjalankan ujian percubaan di sepanjang laluan Bangkok-Butterworth.

Beliau berkata KTMB akan mengendalikan tren ujian tiga gerabak — terdiri daripada satu gerabak berkuasa dan dua gerabak penumpang — bagi ujian bersama di laluan Bangkok-Padang Besar sebagai persediaan pelancaran rasmi nanti.

“Pelanjutan perkhidmatan tren ‘MySawasdee’ hingga ke Surat Thani bukan sahaja menawarkan pengalaman perjalanan baharu dan unik kepada penumpang, tetapi juga membuka lebih banyak pilihan perjalanan, menjana nilai ekonomi serta memperkukuh hubungan budaya dan sosial antara Thailand dan Malaysia,” katanya.

Pada masa ini, tren “MySawasdee” yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Hatyai beroperasi hanya pada musim cuti.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan