DUNIA > BERITA

UNRWA GESA GENCATAN SENJATA SEGERA DI GAZA

07/10/2025 08:47 PM

ISTANBUL, 7 Okt (Bernama-Anadolu) -- Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) pada Selasa menggesa gencatan senjata segera dilaksanakan di Semenanjung Gaza selepas genap dua tahun konflik yang mengakibatkan kemusnahan meluas di wilayah itu, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Dua tahun perang di Gaza. Dua tahun yang terlalu lama,” menurut agensi itu di platform X.

Agensi itu turut menekankan keperluan untuk membebaskan semua tawanan Israel dan tahanan Palestin serta menamatkan sekatan Israel bagi memastikan “aliran bantuan kemanusiaan dan bekalan komersial yang standard” di bawah mekanisme PBB.

“Sudah tiba masanya untuk gencatan senjata,” katanya.

Sejak 7 Okt, 2023, tentera Israel telah membunuh lebih 67,100 rakyat Palestin di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Serangan bom tanpa henti itu telah menjadikan wilayah berkenaan hampir tidak dapat didiami dan menyebabkan pemindahan paksa secara besar-besaran, kebuluran serta penularan penyakit.

Delegasi Israel dan Hamas memulakan rundingan tidak langsung di Sharm el-Sheikh, Mesir pada Isnin bagi membincangkan pelan 20 perkara oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang menggesa pembebasan tawanan Israel dalam tempoh 72 jam selepas mendapat kelulusan Israel, gencatan senjata dan pelucutan senjata Hamas.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan