Oleh V. Sankara
KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Presiden Timor-Leste Jose Ramos-Horta berkata negaranya bersedia untuk mengambil tempat yang sewajarnya sebagai anggota ASEAN ke-11, sambil menegaskan bahawa penyertaan ke dalam blok serantau itu merupakan hak yang wajar dimiliki oleh negara yang terletak di tengah-tengah Asia Tenggara itu.
Dalam temu bual eksklusif bersama Bernama di Istana Presiden di Dili baru-baru ini, penerima Hadiah Keamanan Nobel itu turut berikrar bahawa Timor-Leste akan menjadi anggota yang konstruktif dalam menyumbang ke arah kestabilan dan kemakmuran rantau ini.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta negara ASEAN lain atas sokongan mereka terhadap usaha Timor-Leste untuk menyertai blok berkenaan.
“Kami berterima kasih kepada Malaysia dan semua pemimpin ASEAN atas kepercayaan mereka terhadap kami, bahawa kami mampu melaksanakan tanggungjawab sebagai anggota ASEAN. Kami mempunyai kelemahan, namun kami berjanji akan terus memperbaiki diri dan melakukan yang lebih baik dari tahun ke tahun,” katanya dalam temu bual rancangan Bernama TV bertajuk Timor-Leste’s Next Chapter: With ASEAN and Malaysia yang disiarkan pada Rabu.
Temu bual prarakaman itu dikendalikan oleh penyampai dan Ketua Program Bernama TV, Gerard Ratnam.
Ramos-Horta berkata Timor-Leste menganggap keanggotaan ASEAN sebagai hak yang wajar dimiliki negaranya berdasarkan kedudukan geografi dan budaya di Asia Tenggara.
Ketika Timor-Leste semakin hampir dengan proses penyertaan ASEAN, Presiden itu menegaskan negaranya akan menjadi anggota yang aman, terbuka dan menghormati, serta komited terhadap pembangunan ASEAN.
“Pesanan ringkas saya kepada Malaysia dan ASEAN ialah kami akan berusaha sebaik mungkin untuk menjadi rakan yang setia dan konsisten kepada semua dalam ASEAN, dan menyumbang kepada usaha menjadikan rantau ini lebih berwibawa serta berpengaruh di peringkat dunia,” katanya.
Negara termuda di Asia Tenggara itu mencapai kemerdekaan pada 20 Mei 2002 dan secara rasmi memohon untuk menyertai ASEAN pada 2011.
Malaysia kekal sebagai penyokong teguh terhadap hasrat ASEAN Timor-Leste, dengan mengiktiraf bahawa penyertaan negara itu akan mengukuhkan perpaduan serantau dan melengkapkan komposisi geografi ASEAN.
Timor-Leste dijangka secara rasmi diterima sebagai anggota ASEAN ke-11 semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur pada akhir bulan ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial