DUNIA > BERITA

PM THAILAND ANUTIN ISYTIHAR PERANG TERHADAP DADAH, IKRAR TINDAKAN KERAS SELURUH NEGARA

08/10/2025 06:04 PM

BANGKOK, 8 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul mengisytiharkan pembanterasan dadah sebagai keutamaan mendesak negara dan berikrar untuk “memenangi perang terhadap dadah” serta menghapuskan ancaman itu daripada masyarakat.

Anutin, yang juga Menteri Dalam Negeri berkata usaha memerangi dadah sentiasa menjadi keutamaan nasional bagi setiap pentadbiran, dan kerajaan semasa kekal komited meneruskan tindakan keras terhadap penyalahgunaan bahan terlarang.

Beliau menegaskan kerajaan menganggap pengedar dan penyeludup dadah dalam apa jua bentuk sebagai musuh negara, sambil berusaha meminda undang-undang berkaitan bagi meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan.

“Kerajaan memandang serius isu ini dan akan bertindak sebagai musuh tanpa henti terhadap semua pengedar, pemilik dan penyeludup dadah, dengan mengenakan hukuman berat secara saksama di bawah undang-undang. Sesiapa yang terlibat dalam kegiatan dadah akan berdepan tindakan undang-undang yang tegas,” katanya pada sidang media di Biro Pembanterasan Narkotik Polis Diraja Thailand di sini pada Rabu.

Anutin turut memberi amaran bahawa mana-mana komuniti atau kampung yang membiarkan isu dadah berleluasa dan menjadi pusat pengedaran atau penyimpanan dadah akan dikenakan tindakan undang-undang lebih tegas serta hukuman lebih berat.

“Kerajaan akan melaksanakan pembanterasan dadah secara berterusan tanpa sebarang kelonggaran bagi menjamin keselamatan komuniti dan mengekalkan ketenteraman negara,” katanya.

Beliau berkata penangkapan berkaitan dadah diumumkan secara berkala, dengan dua rampasan besar berlaku dalam minggu lepas, manakala Ketua Polis Negara terus memaklumkan perkembangan operasi kepada orang ramai.

Selepas sesi taklimat oleh Polis Diraja Thailand, Anutin secara peribadi memeriksa  dadah serta kenderaan yang dirampas dan digunakan untuk menyembunyikan bahan terlarang itu.

Antara 4 dan 6 Okt 2025, beliau berkata Polis Diraja Thailand melancarkan operasi besar-besaran yang berjaya mematahkan empat rangkaian dadah utama, menahan 10 suspek serta merampas 15.78 juta pil methamphetamine, 235 kilogram methamphetamine kristal, dan pelbagai aset yang dikaitkan dengan sindiket berkenaan, yang kini dalam siasatan lanjut.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan