Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA, 9 Okt (Bernama) -- Gabenor Jakarta Pramono Anung berkata beliau tidak akan membenarkan atlet Israel bertanding pada Kejohanan Gimnastik Artistik Dunia 2025, yang dijadualkan berlangsung di ibu negara Indonesia itu akhir bulan ini.
Kejohanan itu akan berlangsung di Indonesia Arena, sebuah stadium tertutup pelbagai guna yang terletak dalam kompleks sukan Gelora Bung Karno di Jakarta Pusat, dari 19 hingga 25 Okt.
Pramono menggesa penganjur membuat penilaian teliti sebelum menjemput atlet Israel, sambil menyatakan kehadiran mereka boleh mencetuskan kemarahan rakyat Indonesia, negara ddengan majoriti Muslim terbesar di dunia.
"Bagi saya, perkara paling penting ialah tidak mengeluarkan visa supaya mereka tidak datang ke Jakarta.
“Tiada sebarang faedah untuk membenarkan mereka bertanding dalam keadaan semasa," katanya seperti yang dipetik oleh Metro TV News, pada Khamis.
Pramono turut merujuk kepada ucapan Presiden Prabowo Subianto di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, yang menegaskan semula sokongan berterusan Indonesia terhadap perjuangan rakyat Palestin.
"Apa juga yang berlaku di Gaza meninggalkan kesan yang mendalam kepada kita semua. Ucapan Presiden Prabowo di PBB sudah jelas dan tegas," tambahnya.
Satu daripada pertubuhan Islam paling berpengaruh di Indonesia, Muhammadiyah, turut menolak penyertaan atlet Israel, dengan menyatakan ia bertentangan dengan semangat perlembagaan dan boleh menyinggung perasaan ramai rakyat Indonesia.
Majlis Ulama Indonesia (MUI) turut mengambil pendirian yang sama, menyatakan bahawa membenarkan atlet Israel bertanding akan bercanggah dengan prinsip asas negara mengenai kemerdekaan dan keadilan di tengah-tengah serangan berterusan Israel di Gaza.
Pada Mei 2024, Persekutuan Gimnastik Antarabangsa menamakan Indonesia sebagai tuan rumah Kejohanan Gimnastik Artistik Dunia 2025 selepas meluluskan bidaan yang dikemukakan oleh Persekutuan Gimnastik Indonesia (PB Persani).
Acara itu akan menjadi kali pertama kejohanan tersebut diadakan di Indonesia dan di rantau Asia Tenggara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial