MANILA, 10 Okt (Bernama-PNA) -- Gempa bumi bermagnitud 7.5 melanda Davao Oriental pada Jumaat, lapor Agensi Berita Filipina (PNA) yang memetik Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina (Phivolcs).
Menurut Phivolcs, gempa tektonik dengan kedalaman 20 kilometer (km) itu berlaku 44 km timur laut bandar Manay pada 9.43 pagi.
Gegaran pada tahap intensiti V dirasai di Davao City, manakala intensiti IV dicatatkan di Bislig, Surigao del Sur.
Phivolcs berkata gempa susulan dan kerosakan dijangka berlaku.
Sementara itu, agensi itu memberi amaran mengenai kemungkinan berlakunya tsunami yang boleh membawa kemusnahan, dengan gelombang pertama dijangka berlaku antara 9.43 pagi hingga 11.43 pagi Jumaat. Gelombang berkenaan boleh berterusan selama beberapa jam.
Orang ramai di kawasan pantai dinasihatkan supaya segera berpindah ke kawasan lebih tinggi atau bergerak lebih jauh ke daratan.
“Pemilik bot di pelabuhan, muara sungai atau kawasan perairan cetek di wilayah yang dinyatakan dinasihatkan supaya mengikat bot mereka dan menjauhi kawasan pantai. Bot yang sudah berada di laut ketika tempoh ini pula perlu kekal di perairan dalam sehingga menerima arahan selanjutnya,” kata Phivolcs.
-- BERNAMA-PNA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial