EKONOMI > BERITA

AGENDA EKONOMI BUMIPUTERA TERUS DIPACU OLEH PELABURAN GLC, GLIC - PM ANWAR

11/10/2025 01:32 PM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Sebanyak RM40 juta disediakan menerusi pelaburan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi mempercepat proses peningkatan skala syarikat Bumiputera berpotensi tinggi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata susulan penyatuan Ekuinas dan Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) di bawah Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB), Ekuinas akan membangunkan syarikat pelaburannya sehingga dapat disenaraikan dan diambil alih oleh Permodalan Nasional Bhd (PNB). 

PHB pula akan memperkukuh pemilikan strategik Bumiputera dalam hartanah dan perniagaan utama, kata beliau ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata kerajaan mengambil langkah yang belum pernah dilakukan sebelum ini dengan menambah tanah Rizab Melayu seluas 50 ekar di Bandar Malaysia. 

“Petronas selaku pemilik tanah Bandar Malaysia sedang merencana pelan pembangunan dan akan memulakan fasa pembangunan menjelang akhir 2026.

“Selain itu, projek pembesaran Lapangan Terbang Subang dan kawasan sekitar yang strategik untuk industri aeroangkasa hendaklah diterajui kerajaan dan GLC bagi memastikan kepentingan nasional dan penyertaan Bumiputera diutamakan,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) menyediakan RM20 juta untuk program pembiayaan mikro bagi pesara, memperkasa keusahawanan di peringkat komuniti. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan