DUNIA > BERITA

BELANJAWAN 2026 : SUNTIKAN POSITIF KEPADA WISMA PUTRA PERTAHAN DASAR LUAR

10/10/2025 09:29 PM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2026  menjadi suntikan positif kepada Kementerian Luar untuk melaksanakan peranan dan tanggungjawabnya dengan lebih efektif dalam mempertahankan dasar luar dan kepentingan negara.

Ia juga sebagai suntikan positif untuk meningkatkan penglibatan Malaysia dalam pelbagai proses dan inisiatif yang diketengahkan oleh organisasi dan pertubuhan antarabangsa dan serantau, termasuklah ASEAN, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kumpulan Negara-Negara Berkecuali (NAM), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC), Kumpulan D-8, dan BRICS.

“Ini adalah selaras dengan aspirasi MADANI dan dasar serta komitmen Malaysia terhadap diplomasi yang proaktif, inklusif dan berprinsip,” kata kementerian itu yang lebih dikenali sebagai Wisma Putra dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Wisma Putra berkata ia menyambut baik pembentangan Belanjawan 2026 Kerajaan MADANI bertemakan “Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat” oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Secara keseluruhan, Wisma Putra telah diperuntukkan sebanyak RM1,200,844,100 di mana RM982,698,600 adalah bagi Belanja Mengurus dan RM218,145,500 bagi Belanja Pembangunan.

Menurut Wisma Putra, tahun 2026 menandakan peralihan sebahagian fokus kementerian itu selepas selesai pelaksanaan tanggungjawab Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025.

“Dengan berakhirnya tempoh kepengerusian ini, kementerian kini menumpukan kepada pengukuhan peranan diplomasi Malaysia di peringkat serantau dan global, selaras dengan aspirasi Ekonomi MADANI yang menitikberatkan keseimbangan antara kemakmuran, kemampanan dan kesejahteraan global,” katanya.

Wisma Putra juga menghargai dana khusus sebanyak RM31.5 juta bagi peruntukan penyelenggaraan serta penggantian aset-aset di Kedutaan Malaysia di luar negara yang dapat mengoptimumkan kapasiti operasi perwakilan Malaysia.

Selain itu, katanya peningkatan peruntukan bagi belanja pembangunan akan menyumbang ke arah kerja-kerja memulihara dan menaik taraf bangunan-bangunan milik kerajaan di luar negara.

“Ini akan dapat mempertingkatkan keupayaan Wisma Putra dalam menyampaikan perkhidmatan  konsular dan diplomatik yang lebih cekap dan berkesan.

Wisma Putra kekal komited dalam menyampaikan perkhidmatan luar negara yang unggul, responsif dan berintegriti, serta menyumbang secara bermakna ke arah merealisasikan aspirasi Malaysia MADANI,” katanya.    

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan