BEIJING, 13 Okt (Bernama-CMG) – China bukanlah musuh, sebaliknya satu teladan yang berjaya, kata Profesor Jeffrey Sachs ketika ditemu bual oleh Kumpulan Media China (CMG) di sini baru-baru ini.
Ahli ekonomi terkemuka dari Universiti Columbia itu berpendapat, di sebalik perubahan sikap kerajaan Amerika Syarikat (AS) terhadap China iaitu daripada tidak mempedulikan kepada berhati-hati, adalah berpunca daripada rasa terkejut terhadap kemajuan pesat negara Tembok Besar itu.
Beliau memuji pencapaian luar biasa China dalam pembangunan nasional dan menegaskan pandangan positifnya itu bersandarkan pengalaman peribadi.
“Keyakinan saya terhadap China berasaskan pengalaman sendiri yang berkait dengan negara ini sepanjang hidup saya,” katanya.
Prof Sachs kini berkhidmat sebagai Profesor Ekonomi dan Pengarah Pusat Pembangunan Lestari di Universiti Columbia.
Beliau juga pernah dilantik sebagai Penasihat Khas kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selama tiga penggal berturut-turut, dengan pengkhususan dalam bidang pembangunan global termasuk pembangunan lestari, pengurangan kemiskinan dan pertumbuhan ekonomi.
Menyentuh mengenai hubungan China-AS, beliau menegaskan bahawa China bukanlah ancaman.
“Saya telah melihat pembangunan China dalam tempoh 44 tahun sejak kali pertama menjejaskan kaki ke sini pada 1981.
"Sejak itu, saya sering kembali ke China dan menjalankan penyelidikan mengenai ekonominya,” katanya.
Apabila diminta mengulas mengenai salah faham dan prasangka beberapa negara Barat terhadap China, beliau berkata: “Pergilah ke China dan lihat dengan mata sendiri! Dari barat ke tengah, dari Shenzhen ke Shanghai hingga ke Shandong — anda akan mendapat jawapannya.”
Prof Sachs mengakui kemajuan besar yang dicapai China dalam bidang teknologi global dan menimbulkan rasa gusar dalam kalangan sebahagian rakyat AS.
Namun, katanya, usaha untuk menyekat kemajuan China adalah sia-sia.
“Ekonomi China kini amat besar dan menjadi rakan dagang utama kepada kira-kira 150 negara di dunia. Negara ini berada di barisan hadapan dalam pelbagai bidang teknologi, dan setiap tahun melahirkan ribuan graduan dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
“Anda boleh menyemak kedudukan sumbangan tesis sains alam yang diterbitkan di jurnal Nature setiap tahun.
"Kekuatan penyelidikan China berada di barisan hadapan.
"AS patut memperhebat inovasi dan bekerjasama dengan China. Dasar menyekat akan membawa kesan musnah.
"Kita mesti membuang pemikiran yang sempit ini dan membetulkan dasar yang silap,” tegas beliau.
-- BERNAMA-CMG
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial