Daripada Sitti Hadijah Mappeneding
TASHKENT, 16 Okt (Bernama) -- Pelancaran penerbangan terus sulung AirAsia X dari Kuala Lumpur ke Tashkent membuka pintu baharu antara Asia Tenggara dan Asia Tengah, sekali gus memperkukuh hubungan Malaysia-Uzbekistan serta merintis kerjasama lebih luas dalam bidang pelancongan, perdagangan dan pendidikan.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Benyamin Ismail berkata laluan baharu itu dijangka menjadi pemangkin kepada hubungan dua hala yang lebih kukuh, khususnya memberi manfaat kepada pelajar, usahawan dan pengembara dari kedua-dua negara.
“Ketika ini, terdapat ribuan pelajar Uzbekistan yang menuntut di Malaysia. Dengan adanya laluan terus ini, perjalanan akan menjadi lebih mudah dan berpotensi meningkatkan lagi kerjasama dalam bidang pendidikan dan perdagangan,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran rasmi penerbangan AirAsia X dari Kuala Lumpur ke Tashkent di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) pada Rabu.
Turut hadir, Duta Uzbekistan ke Malaysia Dr Karomidin Gadoev.
Penerbangan sulung itu berlepas dari KLIA2 pada 1.20 tengah hari (Rabu) dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Islam Karimov di Tashkent selepas lebih tujuh jam penerbangan tanpa henti, membawa 200 penumpang termasuk wakil agensi pelancongan Malaysia dan sembilan petugas media.
Benyamin berkata AirAsia X turut melihat potensi besar dalam segmen kargo, khususnya bagi makanan halal dan barangan ringan, memandangkan laluan terus itu dijangka dapat mengurangkan kebergantungan kepada hab transit serta memendekkan masa penghantaran.
“Pada masa ini hanya terdapat sebuah restoran Uzbekistan di Malaysia, namun kami percaya permintaan terhadap makanan dan produk dari Uzbekistan akan meningkat dengan adanya laluan ini,” katanya.
AirAsia X memulakan operasi ke Tashkent dengan tiga penerbangan seminggu dan merancang untuk meningkatkan kekerapan kepada empat kali seminggu menjelang awal tahun depan, bergantung kepada permintaan pasaran.
Syarikat penerbangan itu secara rasmi memasuki pasaran Asia Tengah pada Mac tahun lepas dengan pelancaran perkhidmatan terus ke Almaty, Kazakhstan.
Ia kini bersiap sedia memperkenalkan laluan sulung ke Istanbul pada 14 Nov sebagai sebahagian daripada strategi lebih luas untuk mengembangkan rangkaiannya merentasi Asia Tengah dan Eropah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial