NEW YORK, 17 Okt (Bernama-Xinhua) -- Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres mengutuk perubahan kerajaan secara tidak berperlembagaan di Madagaskar dan menyeru dikembalikan pemerintahan mengikut perlembagaan dan kedaulatan undang-undang, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh jurucakap beliau pada Khamis.
Kenyataan itu, yang dilaporkan Xinhua, menyatakan Gutteres mengambil maklum keputusan Majlis Keamanan dan Keselamatan Kesatuan Afrika untuk segera menggantung penyertaan negara itu daripada semua aktiviti kesatuan, agensi dan institusinya, sehingga pemerintahan mengikut perlembagaan dipulihkan di negara itu.
"Setiausaha Agung menggalakkan semua pihak berkepentingan Madagaskar, termasuk golongan belia, untuk bekerjasama dalam menangani punca asas ketidakstabilan di negara ini," menurut kenyataan itu.
Guterres turut mengulangi kesediaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk menyokong usaha nasional ke arah pencapaian matlamat itu dengan kerjasama Kesatuan Afrika, Komuniti Pembangunan Selatan Afrika (SADC) dan rakan kongsi antarabangsa yang lain, menurut kenyataan itu lagi.
Kolonel Michael Randrianirina, seorang pegawai tentera Madagaskar, mengumumkan pada Selasa bahawa kuasa negara di Madagaskar diambil alih oleh majlis tentera yang terdiri daripada anggota tentera darat, “gendarmerie” dan polis kebangsaan manakala perlembagaan negara digantung.
Protes meletus di Madagaskar pada akhir September, pada mulanya dicetuskan oleh gangguan bekalan elektrik dan kekurangan air yang meluas.
Beberapa demonstrasi bertukar menjadi ganas dan tidak lama kemudian meningkat menjadi gesaan untuk perletakan jawatan presiden.
Protes bertukar haluan pada Sabtu, apabila satu rejimen tentera mengisytiharkan sokongan dan perlindungan mereka terhadap penunjuk perasaan.
--BERNAMA-XINHUA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial