LONDON, 18 Okt (Bernama-Anadolu) -- Putera Andrew, adinda kepada Raja Charles III pada Jumaat mengumumkan persetujuan untuk melepaskan semua gelaran diraja termasuk gelaran "Duke of York" , susulan dakwaan berterusan yang mengaitkannya dengan pesalah seks Jeffrey Epstein, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Buckingham, Putera Andrew menjelaskan bahawa setelah berunding dengan Raja Charles III serta kerabat diraja, mereka memutuskan bahawa dakwaan berterusan terhadap dirinya boleh menjejaskan tumpuan terhadap tanggungjawab rasmi Raja serta institusi diraja keseluruhannya.
“Sehubungan itu, saya tidak lagi menggunakan sebarang gelaran mahupun penghormatan yang telah dikurniakan,” menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, Putera Andrew akan mengekalkan gelaran Putera, yang telah disandang sejak kelahirannya.
Putera Andrew turut menafikan sekeras-kerasnya segala tuduhan yang dilemparkan terhadap dirinya.
Bekas isterinya, Sarah, "Duchess of York", juga tidak lagi menggunakan gelaran itu, manakala dua puteri mereka, Puteri Beatrice dan Puteri Eugenie akan kekal dengan gelaran diraja masing-masing.
Sebelum ini, Putera Andrew dilucutkan semua gelaran ketenteraan serta jawatan kehormat badan kebajikan.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial