WASHINGTON, 18 Okt (Bernama-Xinhua) -- Presiden Amerika Syarikat Donald Trump bertemu dengan Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy di Rumah Putih pada Jumaat, namun menolak kemungkinan untuk mengadakan sidang kemuncak tiga hala antara Amerika Syarikat, Rusia dan Ukraine dalam masa terdekat, lapor Xinhua.
Bercakap bersama Zelenskyy sebelum rundingan mereka, Trump berkata pertemuannya yang dirancang dengan Presiden Rusia Vladimir Putin di Hungary akan menjadi “pertemuan dua hala sahaja” kerana masih wujud “banyak permusuhan” antara Moscow dan Kyiv.
Apabila ditanya mengenai kemungkinan AS membekalkan peluru berpandu jelajah Tomahawk buatan Amerika, yang menjadi fokus utama strategi Washington dalam konflik Rusia-Ukraine, Trump menjelaskan bahawa negaranya juga memerlukan senjata itu dan memberi amaran bahawa pemindahannya ke Ukraine boleh mencetuskan “peningkatan besar” konflik.
“Kami lebih suka jika mereka tidak memerlukan Tomahawk. Kami lebih suka peperangan ini berakhir,” kata Trump.
“Kami juga memerlukan Tomahawk. Kami tidak mahu memberikan sesuatu yang kami sendiri perlukan untuk melindungi negara kami,” katanya.
Zelensky pula berkata terdapat momentum baharu untuk menamatkan konflik Rusia-Ukraine selepas gencatan senjata di Gaza, namun menuduh Moscow enggan kembali ke meja rundingan dan menggesa Washington supaya terus mengekalkan tekanan terhadap Rusia.
“Presiden Trump kini mempunyai peluang besar untuk menamatkan peperangan ini,” kata Zelensky sambil menegaskan bahawa jaminan keselamatan adalah “perkara paling penting bagi rakyat Ukraine.”
“NATO memang yang terbaik, tetapi senjata sangat penting. Sekutu di pihak kami juga amat penting,” katanya.
Beliau berkata bahawa syarikat tenaga Amerika bersedia membantu Ukraine selepas serangan Rusia baru-baru ini ke atas infrastruktur tenaga negaranya.
Lawatan itu merupakan kunjungan ketiga Zelenskyy ke Rumah Putih sepanjang penggal kedua Trump. Pertemuan itu berlangsung sehari selepas panggilan telefon antara Trump dan Putin.
Trump dan Putin kali terakhir bertemu pada Ogos lalu di Alaska untuk membincangkan isu Ukraine, namun tiada persetujuan dicapai dan rundingan gencatan senjata kekal buntu.
-- BERNAMA-XINHUA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial