DUNIA > BERITA

SISTEM KESELAMATAN MUZIUM LOUVRE BERFUNGSI SEPERTI BIASA - MENTERI PERANCIS

22/10/2025 01:01 PM

PARIS, 22 Okt (Bernama-dpa) -- Susulan kecurian melibatkan barang kemas bersejarah dari Muzium Louvre di Paris, Menteri Kebudayaan Perancis Rachida Dati menafikan wujud sebarang masalah pada sistem keselamatan muzium berkenaan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

“Adakah langkah keselamatan Louvre gagal? Tidak, ia tidak gagal. Itu fakta. Sistem keselamatan berfungsi,” kata Dati semasa sesi soal jawab di Parlimen pada Selasa.

Muzium berkenaan telah dikosongkan dan ditutup pada Ahad selepas empat pencuri bertopeng menceroboh masuk ke Galeri Apollo, tempat mahkota bertatahkan permata disimpan.

Pencuri bertindak melarikan lapan barang kemas yang pernah dimiliki oleh ratu dan maharani Perancis.

“Pemeriksaan terhadap fungsi sistem penggera masih dijalankan,” menurut pejabat pendakwa raya Paris awal Selasa.

Menurut siasatan awal, isu yang sedang disiasat ialah sama ada sistem penggera berbunyi sebaik pencuri memasuki dewan pameran atau hanya beberapa saat sebelum mereka melarikan diri melalui tingkap yang sama digunakan untuk masuk.

Ahli sejarah dan pengasas majalah seni dalam talian La Tribune de l’Art, Didier Rykner, mendakwa bahawa sistem penggera pada tingkap yang terlibat telah dikenal pasti bermasalah sebulan lalu.

Beliau memetik sumber dalaman di Louvre termasuk seorang pegawai kanan, namun menambah bahawa tidak jelas sama ada kerosakan itu telah dibaiki sebelum kejadian.

-- BERNAMA-dpa

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan