PARIS, 23 Okt (Bernama-dpa) -- Tiga banduan di Penjara La Santé, Paris ditahan polis berhubung dakwaan ugutan terhadap bekas Presiden Perancis Nicolas Sarkozy selepas beliau mula menjalani hukuman penjara, lapor Agensi Berita Jerman dpa memetik laporan media tempatan.
Satu rakaman video yang tular di media sosial dilaporkan menunjukkan kata-kata hinaan dan ugutan dilemparkan terhadap Sarkozy sejurus beliau berada di penjara berkenaan, menurut beberapa stesen penyiaran Perancis yang memetik pejabat pendakwa raya awam.
Rakaman itu dipercayai dibuat oleh seorang daripada banduan.
Menurut laporan, pihak pendakwa raya telah membuka kertas siasatan berhubung ugutan bunuh dan satu operasi pemeriksaan turut dijalankan yang membawa kepada rampasan dua telefon bimbit.
Sarkozy, 70, mula menjalani hukuman penjara lima tahun pada Selasa setelah disabitkan bersubahat dalam kegiatan jenayah berkaitan dana kempen pilihan raya daripada bekas pemimpin Libya, Moamer Gaddafi.
Peguamnya berkata bekas ketua negara itu kini ditempatkan di kawasan khas yang terasing dan dilindungi di dalam penjara.
Menurut peguam yang sama, Sarkozy tidak menerima sebarang layanan istimewa dan permohonan bagi pembebasan bersyarat telah dikemukakan.
-- BERNAMA-dpa
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial