WASHINGTON, 24 Okt (Bernama-Anadolu) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump akan mengadakan pertemuan dengan Presiden China Xi Jinping minggu depan ketika beliau mengakhiri lawatan hampir seminggu ke Asia, menurut Rumah Putih pada Khamis, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Jurucakap Rumah Putih, Karoline Leavitt memaklumkan kepada pemberita bahawa Trump dijadual bertemu Xi pada pagi Khamis di luar Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di bandar pelabuhan Busan, Korea Selatan.
Trump kemudian memberitahu wartawan bahawa isu utama dalam pertemuan dua hala itu ialah aliran haram bahan fentanyl, sambil berkata bahawa Beijing menunjukkan kesediaan untuk “melakukan sesuatu” bagi menangani masalah berkenaan.
Presiden AS itu dijadual tiba di Malaysia pada Ahad dan akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum menghadiri majlis makan malam pemimpin-pemimpin ASEAN.
Beliau kemudiannya akan berlepas ke Tokyo pada Isnin untuk bertemu Perdana Menteri Sanae Takaichi pada Selasa.
Trump dijadual ke Busan pada Rabu untuk bertemu Presiden Lee Jae Myung, menyampaikan ucapan pada majlis makan tengah hari Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) APEC, serta menghadiri majlis makan malam pemimpin-pemimpin AS-APEC pada malam hari.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial