SEOUL, 24 Okt (Bernama-Yonhap) -- Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung akan mengadakan lawatan dua hari ke Malaysia bagi menghadiri sidang kemuncak serantau Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN), menurut Pejabat Presiden pada Jumaat, menandakan lawatan pertama beliau ke Asia Tenggara sejak memegang jawatan pada Jun.
Menurut Agensi Berita Yonhap, Lee dijadual berlepas pada Ahad ke Kuala Lumpur untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN, yang beliau merancang membincangkan langkah-langkah memperkukuh Perkongsian Strategik Komprehensif Korea Selatan dengan blok serantau yang dianggotai 10 negara itu, kata Penasihat Keselamatan Negara Wi Sung-lac kepada pemberita.
Pada Isnin, Lee akan menggariskan visinya bagi memperkukuh kerjasama dengan blok serantau berkenaan semasa Sidang Kemuncak ASEAN, sebelum menyertai Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga yang melibatkan Korea Selatan, Jepun dan China.
Di luar sidang itu, Lee akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet pada Isnin bagi membincangkan perkongsian strategik antara kedua-dua negara dan isu semasa termasuk jenayah penipuan dalam talian.
Kemudian pada hari yang sama, Lee akan bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membincangkan langkah memperdalam perkongsian strategik serta memperkukuh kerjasama praktikal dalam bidang perdagangan, pelaburan, infrastruktur dan industri pertahanan, katanya.
-- BERNAMA-YONHAP
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial